NILAI: Malaysia memulakan hari pertama Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai semalam dengan langkah kanan apabila menuai satu pingat perak dan satu pingat gangsa semalam.
Prestasi kem negara pada mulanya kurang memberangsangkan apabila skuad berbasikal remaja wanita yang dibarisi Amber Yong, Nur Alyssa Mohd. Farid, Nurul Nabilah Mohd. Asri dan Ameera Alya Zahirrudin terlepas peluang untuk meraih pingat gangsa selepas Taiwan membuat protes kepada pihak penganjur.
Biarpun skuad negara berjaya mengatasi Taiwan dalam perebutan pingat gangsa, namun kemenangan itu dibatakan kerana kem Malaysia melakukan kesilapan teknikal ketika menuju ke garisan penamat.
Skrip sama turut menimpa skuad wanita elit negara yang turun berentap dalam acara pecut berpasukan apabila akur dengan kehebatan Korea Selatan dalam penentuan pingat gangsa.
Malaysia yang dibarisi Anis Amira Rosidi, Nurul Izzah Izzati Asri dan Nurul Aliana Syafika Azizan mencatatkan masa 49.204s, tewas kepada Korea Selatan.
Begitupun catatan itu memperbaharui rekod peribadi mereka, iaitu 50.172s yang dilakukan di Kejohanan Dunia di Perancis April lalu.
Mujurlah skuad lelaki elit yang mempertaruhkan Muhammad Fadhil Zonis, Muhammad Ridwan Sahrom serta Umar Hasbullah berjaya merangkul pingat gangsa pecut berpasukan selepas melakar masa 44. 363s untuk menafikan lawan, Kazahkstan.
Terdahulu, skuad berbasikal para negara yang beraksi dalam acara akhir pecut campuran terpaksa akur dengan apabila tewas kepada China bagi perebutan pingat emas.
Malaysia yang dibarisi Mohamad Yusof Hafizi, Zuhairi Ahmad Tarmizi dan Hafiz Jamali mencatatkan masa 51.697s akur dengan kehebatan China yang menamatkan perlumbaan dengan 49.216s.
Gangsa milik Indonesia yang menumpaskan Uzbekistan.
“Kalau ikutkan memang kami dah capai sasaran sebab saya dan pasukan memang sasara untuk masuk ke final acara ini, dan China pula memang kuat.
“Tetapi kami tetap berjaya berikan tentangan buat mereka, tidak mengapa, saya masih ada satu lagi acara iaitu 1 kilometer ujian masa dan saya berharap saya dapat tewaskan pelumba China nanti,” jelas Zuhairi.
Pingat emas Malaysia akhirnya disumbangkan menerusi skuad para dalam acara pecut tendem berpasukan campuran yang dibarisi Mohd Khairul Hazwan Wahab, Muhammad Khairul Adha Rasol, Nur Suraiya Zamri serta, Farina Shawati Adnan.
Biarpun Malaysia menjadi satu-satunya negara yang mengambil setelah Indonesia tidak mempunyai senarai pelumba, ia tidak menghalang pelumba untuk melakar catatan terbaik iaitu 51.526s