LONDON: Hugo Lloris melalui perubahan kerjaya yang mengejutkan apabila menjadi bos sebuah restoran pantai di Perancis.
Penjaga gol Tottenham itu adalah salah seorang pemilik baharu restoran La Javanaise di Beaulieu-sur-Mer.
Kawasan tepi laut itu terletak di pinggir pantai Riviera Perancis yang menakjubkan antara Nice dan Monaco.
Restoran tersebut mempunyai dua kawasan lain yang boleh digunakan, ruang istirahat dan akses ke pantai.
Makanan yang ditawarkan kepada pelanggan memberi penghormatan kepada Mediterranean dengan mendapatkan sentuhan chef terkenal, Jean-Philippe Blondet.
Begitupun, makanan yang dijual tidak begitu murah kerana menu biasa berharga lebih 30 pound (RM170.98) untuk satu hidangan.
Lobster panggang antara yang paling mahal dengan harga 77 pound (RM438.86).
Penglibatan Lloris dalam perniagaan di Perancis menguatkan spekulasi tentang perpindahannya dari Tottenham ke Nice, yang berada lebih dekat dengan restoran baharunya.
Baru-baru ini, kapten Perancis berusia 36 tahun itu memberitahu stesen radio BFM Nice Cote d’Azur: “Saya amat terikat dengan bandar Nice, seperti yang anda tahu.” – AGENSI