Lee Zii Jia bukan anak emas - Hannah

Lee Zii Jia bukan anak emas – Hannah

HANNAH Yeoh dan Lee Zii Jia.-IHSAN FB HANNAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dakwaan layanan anak emas yang diberikan kepada pemain badminton perseorangan utama negara, Lee Zii Jia ditepis Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang menegaskan semua atlet berada di dalam program Road To Goal (RTG) diberi layanan sama rata tanpa ada pilih kasih.

“Kita tak ada anak emas, semua anak emas, semua atlet kita bagi elaun sama rata iaitu RM3,000 seorang dan sokongan semua kita bagi untuk pastikan mereka berjaya,” katanya ketika ditanya pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Road To Gold di sini, semalam.

Bagaimanapun, Hannah yang juga Pengerusi Bersama Program RTG mengingatkan kepada semua atlet yang berada di dalam RTG agar membuktikan komitmen 100 peratus untuk mereka membawa pulang pingat emas yang dinantikan Malaysia selama ini.

Persoalan itu dibangkitkan ekoran kemerosotan prestasi juara All England tersebut yang kini telahpun terkeluar daripada kelompok 10 pemain terbaik ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan turut tersingkir awal pada Terbuka Singapura serta Terbuka Indonesia, baru-baru ini.

Tindak tanduk Zii Jia yang menyuarakan hasrat untuk berehat seketika bagi mencari kembali motivasinya yang kian hilang turut membangkitkan tanda tanya tentang perjuangan pemain itu bagi memburu pingat emas pada Sukan Olimpik.

Sementara itu, Penyelaras Program RTG, Datuk Stuart Ramalingam pula memberitahu, Zii Jia masih belum terkeluar daripada kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 di Paris kerana syarat yang diletakkan oleh BWF ialah pemain perlu berada dalam kelompok 16 terbaik dunia.

“Kelayakan masih sedang berjalan, jadi, kita percaya dia akan bangkit dan untuk memastikan Zii Jia tidak terkeluar daripada penanda aras yang ditetapkan, pihaknya juga akan mengadakan perjumpaan bersama pemain itu dan jurulatihnya, Wong Tat Meng, Julai ini,” ujarnya.

Mengulas pula tentang kedudukan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang kini menghuni ranking No. 18 dunia, Stuart berkata, pasangan tersebut diberi masa sehingga September untuk membuktikan prestasi mereka berada di landasan yang sepatutnya.

“Penilaian kita setiap tiga bulan, jadi, kita bagi peluang kepada mereka sehingga September untuk menilai prestasi semasa,” ujarnya.

Beliau juga menjelaskan, jika sebelum ini, syarat yang diletakkan kepada atlet untuk menyertai RTG ialah mesti berada dalam kelompok 10 terbaik dunia, tetapi, kini ia diubah berdasarkan kepada kelayakan pungutan mata Olimpik.

Menurutnya, RTG juga telah menerima cadangan untuk memasukkan seorang lagi pemain perseorangan, Ng Tze Yong dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei ke dalam program tersebut berdasarkan pencapaian dalam kejohanan terbaharu yang mereka sertai.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya