Kehadiran 12,265 peminat ke SSMZA tanda positif sokongan     - Utusan Malaysia

Kehadiran 12,265 peminat ke SSMZA tanda positif sokongan    

HAMIDIN Mohd. Amin, (dua, kiri) menyampaikan sumbangan ketika menziarahi bekas pemain bola sepak negara era 60 hingga 70-an, Harun Jusoh, yang menderita penyakit saraf di Kampung Lorong Haji Da, Batu Buruk, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kehadiran 12,265 peminat menyaksikan perlawanan antarabangsa Tier 1 antara Harimau Malaya dan Kepulauan Solomon di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Nerus, semalam merupakan tanda positif sokongan yang diterima di Pantai Timur.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, perlawanan itu adalah permulaan baik bagi mendekati penyokong khususnya di Terengganu.

Menurut beliau, jumlah kedatangan penonton yang direkodkan semalam membanggakan dalam memberi sokongan kepada pasukan negara di pentas antarabangsa.

“Bagi saya, sambutan diterima penyokong sangat baik dengan kehadiran lebih 12,000 orang yang hadir ke stadium, walaupun kali pertama diadakan di negeri ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih termasuk kepada yang datang dari jauh dan diharap lebih ramai turun memberi sokongan bagi perlawanan dengan Papua New Guinea, Selasa ini,” katanya.

Hamidin berkata demikian ditemui pemberita ketika menziarahi bekas bola sepak negara era 60 hingga 70-an, Harun Jusoh, yang menderita penyakit saraf di Kampung Lorong Haji Da, Batu Buruk di sini, hari ini.

Legenda negara itu merupakan tonggak Harimau Malaya dan rakan sepasukan Allahyarham Mokhtar Dahari ketika beraksi di Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman.

Harun juga menyarung jersi Malaysia di Sukan Asia Tehran, Iran pada 1974 yang memenangi pingat gangsa selain beraksi ketika mengalahkan Arsenal 2-0 dan seri 1-1 pada 1975.

Kunjungan Hamidin yang juga Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) turut disertai bekas pemain seperti Abdul Rahman Ibrahim dan Datuk Syed Abu Bakar Syed Abdullah.

Beliau berkata, program ziarah ini besar maknanya kerana dapat bertemu dengan ramai legenda bola sepak negeri dan negara yang mempunyai banyak jasa kepada bola sepak Malaysia.

“Pencapaian mereka di pentas antarabangsa tidak boleh disangkal seangkatan dengan Allahyarham Mokhtar, mendiang R. Arumugam dan ramai lagi,” tambah Hamidin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya