ALOR SETAR: Pemilik Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar mengesahkan beberapa pemain baharu terdiri daripada pemain tempatan dan import akan dibawa masuk bagi memperkukuh pasukan itu pada jendela perpindahan, Julai depan.
Menurutnya, ketika ini beliau bersama Ketua Pegawai (CEO) KDA, Khamal Idris Ali dan ketua jurulatih, Nafuzi Zain sudah memasang ‘radar’ untuk memantau perkembangan beberapa pemain yang dilihat mampu memberi impak positif ke dalam pasukan.
“Kami bertiga telah berbincang dan mungkin ada dua atau tiga pemain akan dibawa ke sini Julai depan. Insya-Allah, ada tambahan muka-muka baharu untuk menampung lompong dalam pasukan ini di posisi tertentu.
“Insya-Allah dengan kedatangan dua atau tiga pemain baharu ini dapat memberi lebih kekuatan selain mendatangkan inspirasi kepada penyokong untuk melihat wajah-wajah baharu di tengah padang.
“Siapa mereka, itu kita tak cerita lagilah. Sebenarnya kekuatan pasukan ini bergantung kepada bahagian tengah jadi kita akan mempertingkat kemampuan di bahagian itu agar lebih ampuh,” katanya kepada pemberita.
Mengulas aksi pasukan yang semakin serasi selain menampilkan aksi bertenaga kebelakangan ini, Mohd. Daud berkata, beliau gembira melihat usaha dilakukan pemain dalam memperbaiki kualiti diri masing-masing.
“Mungkin lumrah dalam bola sepak, pasukan yang baru dibentuk seperti ini memerlukan masa hingga empat atau lima bulan untuk serasi. Dalam keadaan sekarang, kita lihat pemain kian mengetahui kekuatan dan kelemahan antara satu sama lain dan resipi ‘Nafuzi Ball’ sudah berjalan walaupun belum sempurna.
“Falsafah baharu di bawah pimpinan Nafuzi itu sudah dapat diadaptasi oleh para pemain dan kami setakat ini berpuas hati. Apa yang kami harapkan, perkembangan dalam pasukan ini terus konsisten,” katanya. – UTUSAN ONLINE