MUGELLO: Francesco Bagnaia menegaskan, reaksi serta sokongan yang diterima ketika menakluk Grand Prix (GP) Itali semalam datang daripada ‘peminat sejati’ dan lebih penting berbanding pengkritiknya di media sosial.
Penunggang Ducati itu meraih kemenangan MotoGP ketiga musim ini selepas memenangi perlumbaan di depan penyokong sendiri di Mugello, malah pelumba Itali itu turut memenangi saingan pecut.
Terdahulu, Bagnaia menerima kritikan di laman sosial selepas membuat kenyataan tentang tahap kompetitif MotoGP.
Dia turut dikritik teruk ekoran insiden mabuk ketika memandu dan memakai topi keledar yang tertulis nama Dennis Rodman sebagai penghormatan kepada pemain bola keranjang tersebut di Misano pada tahun 2022.
“Ia selalu seperti ini (mengenai sokongan luar biasa apabila beraksi di laman sendiri).
“Anda boleh dikritik selalu tetapi di mana? Di media sosial. Tetapi apabila anda pergi ke litar dan melihat (sokongan) itu, ia sukar dipercayai.
“Ini kali pertama saya melihatnya dan ini adalah peminat sebenar. Ini adalah perkara yang paling penting bagi saya.
“Jadi, saya sangat gembira melihatnya dan gembira membiarkan mereka menikmatinya,” kata Bagnaia.
Ditanya sama ada komennya mengenai kritikan di media sosial ada kaitan dengan apa yang berlaku pada GP Perancis, Bagnaia menambah:
“Tidak, ia situasi bila anda di hadapan, semua orang gembira tetapi apabila di belakang, orang mula bercakap buruk.”
Bagnaia melepasi garisan penamat sebagai pemenang selepas menewaskan dua lagi pelumba Ducati, Jorgen Martin dan Johann Zarco.
Juara dunia enam kali, Marc Marquez pula gagal menamatkan perlumbaan selepas terlibat kemalangan. – AGENSI