PETALING JAYA: Institut Sukan Negara (ISN) sedia membantu perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei dalam aspek kepakaran sains sukan, namun sebagai pemain profesional, dia perlu menanggung kos perkhidmatan.
Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md. Ramli berkata, pihaknya tiada halangan untuk membantu naib juara remaja dunia dua kali itu, namun Jin Wei atau penajanya perlu menanggung kos perkhidmatan yang disediakan kerana dia bukan lagi di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN).
Begitupun, ISN sedia berbincang dengan Jin Wei mengenai kos yang akan dikenakan kerana mereka sebelum ini sudah mempunyai data dan maklumat tentang pemain berumur 23 tahun itu.
“Kita tidak tolak (beri bantuan) cuma, kalau ditanggung oleh MSN dan kerajaan tiada isu. Jadi, atlet luar ini ada persoalan tentang bayaran perkhidmatan kita kepada dia. Kalau mahu datang tiada masalah tetapi dia atau penaja kena bayar.
“Kita tiada halangan untuk bantu, kita akan sediakan perkhidmatan berdasarkan apa yang dia perlukan, kita akan bincang dan lihat keadaan.
Sebelum ini, ada atlet hoki dan ragbi pun kita bantu untuk proses pemulihan dan mereka ini tidak ditaja kerajaan.
“ISN sedia berbincang (soal jumlah bayaran) dan kita sentiasa terbuka, selepas ini saya akan minta pasukan saya untuk hubungi dan lihat keperluan yang Jin Wei perlukan. Kosnya berbeza-beza dan mengikut keperluan atlet,” kata Ahmad Faedzal.
Sebelum ini, Jin Wei merayu kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membantunya memandangkan dia menghadapi kesukaran sejak memilih untuk bergerak secara profesional pada Januari tahun lalu.
Pemain No. 31 dunia itu tewas pada pusingan pertama Malaysia Masters pada minggu lalu kepada pemain Jerman, Yvone Li 17-21, 21-17, 15-21 dan semalam dia sekali lagi ditunjukkan jalan keluar awal apabila tumpas 11-21, 19-21 kepada pemain Taiwan, Shu Wen Chi.