RIO DE JANEIRO: Jersi ikonik No. 10 yang pernah dipakai Pele, pemain paling cemerlang ketika zamannya akan dilelong pada harga 150,000 pound (RM859,000).
Pada Julai 1971, pemenang Piala Dunia tiga kali itu memakai jersi tersebut di Sao Paulo dan berjaya meledak jaringan ketika membantu Brazil mengikat Austria 1-1 dalam aksi persahabatan.
Itu adalah jaringannya yang ke-77, dan yang terakhir buat Brazil. Dia memakai jersi tersebut sekali lagi semasa menentang Yugoslavia yang berkesudahan seri 2-2.
Pele yang meninggal dunia pada 29 Disember, 2022 membuat penampilan sulung bersama Brazil ketika berusia 16 tahun. Dia kemudian diangkat sebagai duta global bola sepak.
Seluruh dunia berkabung semasa dia meninggal dunia pada usia 82 tahun, Disember tahun lalu.
Baju itu pada asalnya dibeli pelawak David Baddiel dalam Lelongan Amal FIFA 100, namun kini pingat, trofi dan anugerah Pele yang lain juga dilelong dengan anggaran harga dari 500 pound (RM2,860) hingga 15,000 pound (RM85,805) pada Selasa dan Rabu lalu.
Selain barang berharga milik Pele, terdapat barang lain turut dilelong termasuk bola perlawanan akhir Piala Dunia 2022, yang dijangka mencecah 160,000 pound (RM915,000) hingga 200,000 pound (RM1.144 juta)
Topi dan baju antarabangsa yang diberikan kepada Neil Webb kerana menjadi pemain ke-1000 England juga antara barang yang dilelong, termasuk pingat milik legenda Huddersfield Town Tom Wilson.
“Ini adalah satu-satunya peluang untuk memiliki sekeping memorabilia sukan yang unik.
“Kami meramalkan minat utama merentas generasi,” kata David Convey dari Graham Budd Auctions mengenai lelongan jersi Pele. – AGENSI