PARIS: Pemain No. 1 dunia, Iga Swiatek kembali menemui kekuatan dalam dirinya selepas berjaya mengatasi pertarungan akhir yang amat sengit ketika menewaskan Karolina Muchova untuk menjulang kejuaraan tenis Terbuka Perancis buat kali ketiga semalam.
Pemain Poland berusia 22 tahun itu mengukuhkan kedudukan sebagai pemain wanita terbaik dunia, khususnya di atas permukaan tanah liat dengan merangkul gelaran ketiga dalam tempoh empat tahun Roland Garros.
Bagaimanapun kejayaan itu tidak datang bergolek apabila dia dipaksa bekerja keras oleh Muchova sebelum mencatat kemenangan 6-2, 5-7, 6-4 dalam pertarungan dua jam 46 minit.
“Perasaan saya bercampur baur ketika ini, saya bagaikan tidak percaya tetapi perlawanan ini cukup sengit, ada banyak pasang surut. Ada ketika saya rasa tertekan untuk membuat kebangkitan, jadi saya amat gembira kembali stabil.
“Muchova beraksi baik, jadi ia cabaran hebat. Kemenangan menjadi lebih sukar memandangkan saya pernah ditimpa kecederaan serta berdepan tekanan, selain hadir ke sini sebagai penyandang juara.
“Saya amat gembira mampu beraksi baik di gelanggang tanah liat. Saya rasa saya tidak akan meragui kekuatan saya lagi,” jelas Swiatek yang menitiskan air mata sejurus dinobat sebagai juara.
Swiatek kini menjadi pemain wanita pertama sejak jaguh Belgium, Justine Henin berjaya mempertahankan kejuaraan Grand Slam pada edisi 2007.
Upacara penyerahan piala kejuaraan, trofi Suzanne Lenglen kepada Swiatek bagaimanapun sedikit terjejas selepas pemilik empat gelaran Grand Slam itu secara tidak sengaja menjatuhkan penutup trofi.
Hat's off, champ 🤭#RolandGarros | @iga_swiatek pic.twitter.com/Iw49NVgC9K
— Roland-Garros (@rolandgarros) June 10, 2023
“Jujurnya, saya merasakan saya telah memegangnya dengan semua jari saya, jadi saya rasa mungkin sebab saya terlalu beremosi maka perkara itu terjadi.
“Saya tidak bermaksud untuk bersikap biadab. Saya lega trofi itu berada dalam keadaan baik dan ia tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan.
“Saya harap saya akan berpeluang untuk merangkulnya sekali lagi selepas ini,” katanya, yang turut memenangi Terbuka Perancis 2020 dan 2022, selain Terbuka Amerika Syarikat 2022. – AGENSI