Jangan harap gandingan Zii Jia-Tat Meng cipta keajaiban segera

Jangan harap gandingan Zii Jia-Tat Meng cipta keajaiban segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kehadiran Wong Tat Meng yang akan mula me­latih Lee Zii Jia minggu depan tiba tepat pada masanya ketika perseorangan negara itu me­ngumumkan ‘tempoh bertenang’ sudah tamat dan dia bakal kembali ke gelanggang badminton dalam Terbuka Korea bulan depan.

Zii Jia, 25, mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada pertandingan selepas tersingkir pada pusingan pertama Terbuka Indonesia dua minggu lalu.

Begitupun dia akan kembali dengan menyertai dua kejohanan berturut-turut – Terbuka Korea (18 hingga 22 Julai) dan Terbuka Jepun (25-30 Julai).

Bekas jurulatih kebangsaan, Datuk Rashid Sidek bagaima­napun mengingatkan peminat agar tidak mengharap keajaiban dalam tempoh singkat daripada gandingan Zii Jia-Tat Meng.

Sasaran awal mereka seharusnya mengembalikan ­pres­tasi Zii Jia dan ranking ­dunia daripada tangga 14 ke kelompok 10 terbaik.

“Perkara paling penting sekarang, Zii Jia harus mempunyai persefahaman baik dengan Tat Meng dan memulakan usaha ke Olimpik Paris.

“Begitupun terlalu awal untuk melihat mereka melakukan keajaiban, jadi jangan harapkan keputusan besar dari Zii Jia di Korea mahupun Jepun.

“Bagaimanapun, jika Zii Jia boleh bertahan di bawah Tat Meng, ada kemungkinan dia akan kembali dalam kelompok 10 terbaik.

“Kepercayaan menjadi kunci bagi memastikan perkongsian itu berfungsi. Tat Meng mempunyai banyak pengalaman dan dia telah mempelajari kemahiran daripada Li Mao, yang pernah menjadi jurulatih terkemuka.

“Setiap jurulatih mempu­nyai gaya sendiri dan Tat Meng memerlukan masa bagi memastikan kaedahnya berkesan untuk me­ngubah nasib Zii Jia.

“Di penghujung hari, Zii Jia sendiri akan menentukan bahawa dia boleh memanfaatkan kehadiran Tat Meng untuk naik ke tahap yang lain,” katanya.

WONG TAT MENG

Kepulangan Zii Jia cukup menarik kerana dia akan berdepan bekas anak didik Tat Meng di Hong Kong, Angus Ng Ka Long pada pusingan pertama di Korea.

Sementara itu, Tat Meng ketika dihubungi Utusan Malaysia enggan mendedahkan butiran perancangannya untuk menyelamatkan bekas juara All England dan Asia itu.

“Terima kasih kerana mengambil berat tentang Lee Zii Jia…Kami bercadang memberi siaran akhbar mengenai perkara ini tidak lama lagi. Anda dan semua media lain akan dimaklumkan tidak lama lagi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya