PETALING JAYA: Impian untuk menyaksikan pertembungan dua beregu Malaysia dalam final Kejohanan Skuasy Beregu Campuran Asia tidak kesampaian apabila hanya Ivan Yuen-Rachel Arnold berjaya meneruskan kemaraan pada ketika Mohammad Syafiq Kamal-Aifa Azman kandas pada separuh akhir di Hangzhou, China hari ini.
Turuns sebagai pilihan kedua, Ivan-Rachel dipaksa bekerja keras pada set pertama sebelum menang 10-11, 11-4, 11-6 ke atas beregu muda India, Abhay Singh-Anahat Singh.
Pilihan pertama, Syafiq-Aifa pula tumpas kepada satu lagi pasangan India, Harinder Pal Singh-Dipika Pallikal 9-11, 6-11.
Harinder-Dipika yang memegang status pilihan ketiga, beraksi lebih mantap dengan pertahanan kental yang dipamerkan mereka menyukarkan Aifa-Syafiq untuk cuba bangkit.
Kekalahan tersebut memberi pengajaran berguna buat Syafiq-Aifa dalam usaha memburu pingat emas pada Sukan Asia yang juga akan diadakan di Hangzhou, September depan.
Esok, giliran Ivan-Rachel pula berdepan Harinder-Dipika dan jika mereka berjaya menjulang gelaran, maka bayangan pingat emas itu tidak mustahil mampu digapai.
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S. Maniam ketika dihubungi berkata, dalam set pertama, Rachel dan Ivan membiarkan lawan mengejar, walaupun pada awalnya mereka bermula dengan baik.
“Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan menyebabkan kita tewas set pertama, namun, dalam set kedua kita cuba mengubah taktik permainan.
“Strategi kita melakukan serangan ke atas seorang pemain iaitu Anahat ternyata berhasil dan taktik yang diatur memberikan kemenangan 2-1 kepada Rachel-Ivan,” katanya.
Bagaimanapun, Maniam memberitahu, nasib tidak menyebelahi Syafiq-Aifa yang kalah straight set kepada Harinder-Dipika.
“Kita sebenarnya cuba untuk mengubah taktik permainan tetapi ia tidak menjadi dan kita tewas 0-2,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, ini satu proses pembelajaran buat beregu Malaysia dan sebaik pulang ke tanah air nanti penilaian perlu dibuat dan seterusnya melakukan persiapan lebih baik untuk Sukan Asia. – UTUSAN ONLINE