PETALING JAYA: Dua kemenangan terbaru yang dicatat dalam perlawanan kalender Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) membolehkan Harimau Malaya terus menunjukkan peningkatan dalam ranking dunia apabila menghuni tangga ke-137.
Dalam ranking rasmi yang dikeluarkan oleh FIFA hari ini, anak-anak buah Kim Pan Gon naik satu anak tangga selepas mengutip 9.44 mata hasil kemenangan 4-1 ke atas Kepulauan Solomon (133 dunia) dan membelasah Papua New Guinea (159) 10-0.
Ia merupakan kedudukan terbaik Malaysia dalam tempoh 17 tahun sejak berada di posisi ke-127 pada Mei 2006.
Kenaikan tersebut menjadi tonik terbaik buat Harimau Malaya sebelum menghadapi Piala Asia di Qatar pada Januari tahun depan, dan paling penting mereka tidak pernah mengalami penurunan ranking sejak diambil alih oleh Pan Gon.
Malaysia menghuni ranking ke-154 dunia ketika Pan Gon mula mengambil alih pasukan pada 21 Januari 2022.
Selepas mencatat peratusan kemenangan yang tinggi – 70 peratus dalam tempoh lebih setahun lalu atau menang 16 daripada 20 perlawanan setakat ini, ia satu pencapaian yang memberangsangkan buat Pan Gon.
Ranking FIFA seterusnya akan dikemas kini pada 20 Julai 2023.
Malaysia kekal di kedudukan ketiga terbaik dalam kalangan negara Asia Tenggara di belakang Vietnam yang kekal di tangga ke-95 dunia, manakala naik satu anak tangga ke ranking 113.
Sementara itu Indonesia yang tewas 0-2 kepada juara dunia, Argentina dan seri 0-0 menentang Palestin dalam perlawanan antarabangsa FIFA baru-baru ini jatuh satu anak tangga ke ranking 150 dunia. – UTUSAN ONLINE