KUALA TERENGGANU: Tonggak Harimau Malaya, Faisal Abdul Halim yakin mampu mengatasi cabaran Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea dalam aksi persahabatan Tier 1, 14 dan 20 Jun ini.
Menurut pemain sayap Selangor FC itu, sentuhan jurulatih, Kim Pan-Gon serta adunan pemain muda dan tonggak berpengalaman diyakini menghadirkan magis buat Harimau Malaya.
Faisal berkata, kelebihan fizikal dua negara Oceania itu tidak menghalang keupayaan Malaysia untuk mengulangi kemenangan ke atas Turkemenistan dan Hong Kong, Mac lalu.
“Tiada perlawanan yang mudah terutama di pentas antarabangsa bahkan Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea juga ada kekuatan tersendiri dengan skuad mereka.
“Namun saya percaya percaturan taktikal Pan-Gon dengan kualiti barisan pemain Malaysia boleh memberikan kemenangan dalam dua perlawanan ini,” katanya yang ditemui di hotel penginapan, hari ini.
Dalam aksi antarabangsa 24 Mac lalu, Malaysia meraih kemenangan 1-0 ke atas Turkmenistan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru hasil jaringan tunggal Akhyar Rashid.
Rentak positif itu diteruskan lima hari kemudian dengan kejayaan membenam Hong Kong, 2-0 dengan jaringan disumbangkan Akhyar dan Faisal pada babak pertama.
Faisal menjelaskan, rentak bersama skuad negara banyak membantunya mengekalkan prestasi bersama Selangor yang kini cemerlang di kedudukan kedua Liga Super.
“Saya beruntung dikelilingi pemain yang bagus bersama kelab dan negara, jadi ianya banyak menyumbang kepada persembahan lebih tersusun bersama rakan-sepasukan,” katanya. – UTUSAN