PETALING JAYA: Ketua Kontinjen Negara (CDM) ke sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd. Amin sedang berusaha merapatkan jurang antara pemain badminton yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan pemain profesional.
Hamidin yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, sudah ada usaha untuk menempatkan pemain badminton di satu hotel sekiranya mereka beraksi dalam kejohanan di luar negara dan perubahan itu nampak positif, malah pemain juga gembira.
“Mereka sangat gembira, kita akan cadangkan kepada jawatankuasa (Road to Gold). Macam pada Terbuka Singapura, pemain badminton tinggal di hotel yang sama, kita mahukan ‘bonding’ kerana mereka bermain untuk Malaysia tidak kira bawah BAM atau profesional.
“Jadi saya akan cuba kurangkan perbezaan dalam kalangan pemain itu sendiri. Badminton kuat, tidak susah untuk buat kerja. Kena pastikan kita bersama, kita tidak mahu Lee Zii Jia di hotel lain dan yang lain-lain pun di hotel yang lain.
“Kita mahu semua bersama dan membentuk semangat berpasukan yang baik, sekali gus menaikkan moral pemain dan mempunyai ikatan yang kuat untuk menyokong antara satu sama lain,” kata Hamidin ketika ditemui pemberita semalam.
Keputusan Hamidin itu dilihat seolah-olah mahu menyerapkan aura positif sama seperti apa yang berlaku dalam skuad Harimau Malaya ketika ini dimana, para pemain Kim Pan Gon mempunyai ‘bonding’ yang kuat, sekali gus membawa perubahan dalam pasukan.
Menurut Hamidin, badminton ketika ini mempunyai harapan yang cukup tinggi untuk membutirkan pingat buat kontinjen negara di temasya Olimpik kerana tiada penguasaan dominan mana-mana pemain dalam acara perseorangan, beregu mahupun beregu campuran.
“Saya sudah mengadakan mesyuarat dengan Rexy Mainaky (BAM) dan Rosman Razak (profesional). Saya kata, badminton ada harapan selain basikal dan kita ada ruang untuk bantu pemain kembali ke prestasi terbaik mereka menjelang Olimpik Paris.
“Sekarang kita tidak boleh berikan mereka tekanan untuk menang dan menang. Sekarang, badminton tiada yang dominan macam Lin Dan dahulu, sama juga dalam acara beregu dan beregu campuran. Mana-mana pemain boleh kalahkan sesiapa sahaja.
“Peluang untuk Pearly Tan-M. Thinaah pun ada, bagi saya ada dua fasa…Bermula layak ke separuh akhir Piala Sudirman dan Malaysia Masters, ada dua wakil kita ke final, ada yang sangkut suku akhir dan pusingan kedua.
“Sekarang, tidak perlu fikir untuk terus muncul juara, yang penting kutip mata baiki kedudukan ranking. Kita perlu bermain baik untuk ke peringkat suku akhir dan separuh akhir dahulu termasuk Zii Jia tetapi kalau muncul juara lagi baik, itu lagi bagus untuk pemain.
“Daripada situ, kita bangkit satu persatu kerana masih ada 23 sirkit lagi, kalau boleh kita mahu ramai pemain naik dan menang. Zii Jia serta pasangan beregu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sedikit menurun sekarang. Jadi kena bangkit,” katanya. – UTUSAN ONLINE