MANCHESTER: Manchester City terus mengukuhkan reputasi mereka sebagai pasukan yang paling digeruni dalam saingan bola sepak Inggeris apabila menambah satu lagi koleksi kejuaraan dengan menjulang Piala FA selepas menumbangkan seteru setempat, Manchester United 2-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Wembley.
Lebih menarik, City tidak perlu menunggu lama untuk mendahului di depan apabila Ilkay Gundogan hanya memerlukan 17 saat sahaja untuk menembusi gawang United selepas melakukan voli menarik bagi menewaskan penjaga gol United, David de Gea.
Gol tersebut ternyata memberi tamparan buat barisan anak buah Erik ten Hag, namun mereka tidak berputus asa dan hasilnya, mereka mendapat kesempatan apabila pengadil memberikan sepakan penalti buat Red Devils pada minit ke 33.
Ia susulan video bantuan pengadil (VAR) dapat mengesan bola terkena tangan pemain tengah City, Jack Grealish ketika sedang diasak oleh Aaron Wan Bissaka.
Bruno Fernandes tenang untuk menyudahkan peluang tersebut sekaligus mengikat kedudukan pada babak pertama dengan keputusan 1-1.
Bersambung aksi di babak kedua, Gundogan sekali lagi menjadi duri dalam daging buat United apabila hanya memerlukan enam minit sahaja untuk meletakkan pasukannya kembali di hadapan apabila sekali lagi melakukan voli, cuma bezanya kali ini menggunakan kaki kiri untuk menewaskan De Gea pada minit ke 51.
United semakin terdesak untuk mencari gol penyamaan dengan mengasak kubu City bertubi-tubi namun juara Liga Perdana Inggeris terus kental untuk memastikan mereka memperoleh trofi kedua musim ini dengan keputusan 2-1.