KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Kehormat Persekutuan Renang Malaysia (MS), Mae Chan menerima keputusan beliau tidak lagi berada dalam kepimpinan badan induk tersebut bagi penggal 2023-2025.
Bagaimanapun, dia berharap ahli jawatankuasa baharu yang dipilih dalam Mesyuarat Agung Tahunan MS ke-54, Sabtu lalu, akan membelanjakan akaun bank persatuan bernilai RM3.5 juta dengan berhemah bagi memastikan sukan itu kekal unggul.
“(Saya) agak tidak bernasib baik tetapi mungkin mereka yang mengundi mahukan perubahan dan untuk saya sendiri, lebih baik saya terus ke hadapan (move on).
“Saya telah bersama persatuan sejak 2015, jadi saya lega sudah meletakkan usaha yang bagus selama ini. Saya ucap tahniah kepada ahli komuniti yang baharu dan mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka.
“Saya berharap RM3.5 juta yang ada dalam akaun bank sekarang akan digunakan untuk pembangunan sukan renang dan atlet,” katanya sambil menahan sebak.
Ujar Mae Chan, semasa dia mula memegang tugas lapan tahun lalu, akaun bank persatuan hanya berbaki RM800,000 dan hasil kerja kerasnya telah membantu jumlah itu bertambah.
“Semasa saya mengambil alih jawatan itu pada 2015, secara kasar MS ada RM800,000 tetapi saya dan seluruh pasukan berusaha menambah nilai itu dengan menganjurkan pertandingan di dalam negara untuk peringkat tempatan dan antarabangsa.
“Kami lakukan sesi latihan bersama, cari penaja termasuk memberi sijil kelayakan kepada kolam yang layak untuk dijadikan venue pertandingan,” katanya.
Dalam mesyuarat tersebut, Mae Chan meraih 22 undian selepas tewas kepada Andy Law (29 undian) bagi menerajui tugas sebagai Setiausaha Kehormat MS.
Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim menang tanpa bertanding untuk kekal menerajui MS bagi penggal 2023-2025.
MS turut mendapat nafas baharu apabila bekas ratu renang negara, yang memenangi 22 emas pada Sukan SEA, Nurul Huda Abdullah (Selangor) dipilih sebagai Penolong Setiausaha.