KETAKSUBAN dan kebijaksanaan Pep Guardiola telah mengangatnya sebagai pengurus bola sepak terhebat.
Dia amat mahir dalam setiap yang dilakukan, terutama gaya permainan berasaskan penguasaan bola.
Guardiola mencipta taktikal popular ‘tiki-taka’ iaitu gerakan yang dicetuskan daripada hantaran-hantaran pendek di seluruh padang.
Dia seorang ‘perfectionist’, mengkaji pesaing, mengambil setiap butiran kecil dan berani menggunakan taktik berisiko.
Sejak kecil, anak kepada tukang batu, Valenti dan Dolors, seorang suri rumah itu menunjukkan minat terhadap bola sepak. Dia bermula bersama pasukan remaja tempatan, Gimnastic Manresa.
Begitupun hidupnya mula berubah apabila dia memasuki skuad remaja Barcelona di usia 13 tahun pada 1984.
Guardiola membuat penampilan sulung pada 1990 menentang Cadiz, dan berjaya memikat legenda Belanda, Johan Cruyff yang merupakan pengurus Barcelona ketika itu.
Cruyff membentuk ‘pasukan impian’ Barcelona pada musim 1991-1992, di mana Guardiola yang beraksi di posisi tengah antara watak penting membantu mereka muncul juara La Liga dan Eropah pada usia 20 tahun.
Falsafah bola sepak Cruyff menjadi inspirasi kepadanya dalam merencanakan strategi bola sepak moden, khususnya seperti dilakukan di Manchester City ketika ini.
Selepas bersara sebagai pemain, Guardiola banyak belajar ilmu kejurulatihan daripad Cruyff diberi kepercayaan melatih skuad Barcelona B.
Dia kemudian dinaikkan pangkat membimbing skuad senior yang merangkul treble bersejarah pada musim 2008-2009.
Di awal kehadirannya, Guardiola bertindak berani menjual ramai pemain senior dan membawa masuk muka baharu seperti Dani Alves,
Seydou Keita, Gerard Pique serta Alexander Hleb.
Tindakan beraninya membantu kelab merangkul gelaran La Liga pertama sejak 2006 sebelum memenangi Copa del Rey dan Liga Juara-Juara. Pada musim berikutnya, mereka meraih enam trofi.
Selain taktikal hebat, berjaya membina hubungan peribadi dengan pemain serta penekanan terhadap disiplin turut menjadi kekuatan Guardiola.
Pada 2012, ketika kariernya sedang di kemuncak, Guardiola membuat keputusan mengejut berehat daripada bola sepak. Dia melalui tempoh sabatikal setahun di New York sebelum bersetuju membimbing gergasi bola sepak Jerman, Bayern Munich pada 2013.
Selepas memulakan tugas dengan kekalahan kepada Borussia Dortmund dalam Piala Super Jerman, Guardiola membantu Bayern bangkit menjuarai Bundesliga dan Piala Super Eropah 2013.
Pada 2016, dia meninggalkan Jerman untuk menyahut cabaran mengujakan membimbing City yang tidak pernah muncul juara Eropah.
Keputusan pertama Guardiola sebaik sahaja tiba di England mencetus kontroversi apabila dia menukar penjaga gol ‘kesayangan’ peminat, Joe Hart kepada Claudio Bravo yang dibawa dari Barcelona.
Begitupun perkara itu mula dilupakan sebaik sahaja dia menghadiahkan gelaran Liga Perdana Inggeris pada 2017-2018, 2018-2019, 2020-2021, 2021-2022 dan 2022-2023.
Kejayaan terbesar yang mengangkat Guardiola sebagai pengurus terbaik sepanjang zaman adalah membawa City meraih Liga Juara-Juara buat kali pertama minggu lalu.
Kemenangan itu membolehkan mereka melengkapkan gelaran treble – Liga Juara-Juara, Liga Perdana dan Piala FA.
Citu adalah kelab England kedua melakar sejarah tersebut selepas Manchester United pada 1999.