NILAI: Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Fadhil Zonis akhirnya menamatkan penantian lebih sedekad Malaysia untuk merangkul pingat emas acara ujian masa 1 kilometer di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai hari ini.
Fadhil berjaya melakar masa 1 minit 0.559 saat (ss) untuk menjadi pelumba terpantas dalam acara tersebut, mengatasi sembilan pelumba yang lain.
Kali terakhir Malaysia meraih emas dalam acara ini di ACC adalah pada edisi 2012 di Velodrom Cheras, Kuala Lumpur.
Lebih manis, Fadhil berjaya mengenepikan cabaran juara remaja dunia, Ronaldo Laitonjam dari India yang sekadar melakar catatan 1 minit 0.863s untuk meraih pingat perak, sementara Choi Woorim dari Korea Selatan menggondol gangsa.
Fadhil juga turut mendedikasikan pingat emas ini untuk arwah ayahnya, Mohd Zonis Mokhtar serta ahli keluarganya yang telah banyak berkorban sebelum ini.
“Kejayaan ini mempunyai makna yang istimewa, saya dapat bawa pulang pingat emas ni balik ke Malaysia, saya sudah pun mencuba banyak kali sebelum ini, namun tidak berjaya.
“Semalam pula hari bapa, dan bapa saya dah meninggal dunia sejak empat tahun yang lalu, memang niat saya dari dahulu untuk mendapatkan jersi ini untuk segala pengorbanan yang arwah ayah saya dah lakukan selama ini.
“Sebelum ini, arwah ayah saya merupakan tunjang belakang keluarga. Walaupun ketika dia sakit, ketika hari hari terakhir dia nazak, dia masih tahu saya akan pergi ke Jerman untuk latihan pusat.
“Bila saya menang tadi, saya agak emosi sehingga mengalirkan air mata, bila difikirkan kembali, ibu saya berada di rumah, adik saya pula kemalangan dan kini berada dalam keadaan 50-50 selepas pembedahan, jadi ini adalah pengorbanan untuk keluarga saya,” jelas Fadhil.
Dua edisi sebelum ini, Fadhil hanya membawa pulang pingat perak, bermula di ACC 2020 Jincheon, Korea Selatan, disusuli tahun lalu di New Delhi, India.
Dalam saingan wanita pula, Nurul Izzah Izzati Asri juga tidak mengecewakan apabila berjaya meraih pingat perak bagi ujian masa 500 meter (m) dengan melakar catatan 34.226s.
Catatan ini turut memecah rekod kebangsaan milik bekas ratu berbasikal trek negara, Fatehah Mustapha yang sebelum ini dengan catatan 34.542s ketika Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.
Emas milik pelumba China, Jiang Yulu sementara gangsa diraih pelumba Jepun, Aki Sakai.
“Saya pada mulanya tidak letak sasaran nak raih sebarang pingat pun di dalam acara ini, sebab nampak pelumba dari Jepun dan China lebih kuat, tetapi apa pun saya rasa gembira juga dapat capai impian saya untuk pecahkan rekod milik Fatehah (Mustapha).
Secara keseluruhan, Malaysia menutup saingan ACC pada tahun ini dengan meraih tiga pingat emas, satu pingat perak dan dua pingat gangsa.