PETALING JAYA: Pemain skuasy perseorangan utama negara, Ng Eain Yow mencerahkan peluang untuk pertahan gelaran selepas mengetepikan rakan senegara, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar pada suku akhir Kejohanan Skuasy Asia di Pusat Skuasy Hong Kong, Hong Kong hari ini.
Eain Yow yang diletakkan selaku pilihan pertama menang 11-3, 11-4, 11-4 dalam masa 22 minit, sekali gus menyaksikan pemain No. 17 dunia itu melebarkan rekod pertemuan ke atas Addeen kepada 7-1.
Pencabar pemain kelahiran Kuala Lumpur pada peringkat empat terbaik ialah wakil tuan rumah, Henry Leung yang menumpaskan rakan senegara, Wong Chi Him 11-5, 11-3, 6-11, 11-7 dalam masa 47 minit.
Jika kedudukan ranking diambil kira, Eain Yow seharusnya tidak berdepan masalah untuk mengalahkan Henry yang menghuni ranking ke-50 dunia dan rekod pertemuan juga berpihak kepada pemain negara itu 2-1.
Eain Yow merangkul gelaran Asia di Islamabad, Pakistan pada 2021 setelah mengalahkan Yip Tsz Fung juga dari Hong Kong.
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S. Maniam ketika dihubungi Utusan Malaysia melahirkan rasa puas hatinya terhadap keputusan yang dicatat Eain Yow setakat ini.
“Dia merupakan pemain yang berada di ranking lebih tinggi dan memang dijangka Eain Yow mampu menewaskan Addeen,” katanya di sini, semalam.
Mengulas pula mengenai persembahan Addeen, Maniam berkata, kegagalan pemain itu menarik Eain Yow bermain di sudut belakang gelanggang menjadi punca kepada kekalahan itu.
“Addeen terlalu kerap berada di hadapan gelanggang, permainan yang sedemikian telah menyaksikan dia tumpas 3-0.
“Walau apa pun saya gembira dengan persembahan Eain Yow, dia mempamerkan corak permainan yang membawanya kepada kemenangan ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE