LONDON: Chelsea dilaporkan memasuki persaingan untuk mendapatkan Neymar selepas hasrat penyerang Brazil itu untuk kembali ke Barcelona tidak kesampaian.
Neymar sebelum ini menawarkan diri untuk kembali ke pangkuan Barcelona dan meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) tetapi pengendali Barca, Xavi menolak perpindahan bekas rakan sepasukannya.
Situasi itu meninggalkan laluan jelas untuk pengendali baharu Blues, Mauricio Pochettino membawa masuk pemaing berusia 31 tahun itu ke Stamford Bridge dalam usaha membina semula pasukan.
Pochettino yang pernah bekerjasama dengan Neymar di PSG turut membandingkan pemain itu dengan legenda Brazil, Ronaldinho.
“Ronaldinho adalah rakan sepasukan saya ketika menjadi pemain PSG dan kini Neymar. Mereka perlu merasa bagus dan gembira untuk beraksi dengan cara terbaik,” kata Pochettino.
Selain Chelsea, pesaing utama mereka dalam Liga Perdana Inggeris, Manchester United juga berminat mendapatkan khidmat bintang Brazil itu.
Begitupun portal sukan Perancis, Le Parisien sebelum ini mendedahkan, pemilik Chelsea, Todd Boehly telah terbang ke Paris bagi berunding dengan Nasser Al-Khelaifi mengenai hasrat membeli Neymar.
Foot Mercato pula mendedahkan, Boehly kemudian telah mengadakan pertemuan dengan wakil Neymar. – AGENSI