PETALING JAYA: Ibarat carik carik bulu ayam, lama lama bercantum semula.
Lima bulan selepas berpisah, Nur Izzuddin Rumsani dan Goh Sze Fei memilih untuk bergabung semula demi memburu tiket ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Bagi Sze Fei, dia mahu membuka buku baharu dengan pasangan lamanya, dan cuba kembali ke kemuncak prestasi yang pernah mereka kecapi seperti memenangi Terbuka Jerman tahun lalu.
Tambahnya, perbincangan untuk penyatuan semula itu telah berjalan sejak minggu lalu sebelum Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi lampu hijau untuk mereka bergandingan semula.
Bagaimanapun ia bukan jalan mudah buat Sze Fei-Izzuddin untuk memburu tiket ke Olimpik kerana bukan sahaja perlu bersaing dengan tiga lagi calon, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun, malah menempatkan diri dalam kedudukan lapan terbaik ranking Olimpik.
“Saya rasa itu tidak penting (siapa mulakan untuk berbaik), yang penting kami mempunyai sasaran sama.
“Saya rasa keserasian dengan Izzuddin memang bagus sebab kami sudah berpasangan sejak sekian lama, dan kami pun masih ada sasaran yang sama (Sukan Olimpik), kami ingin mencuba.
“Memang saya hargai apa yang Izzuddin dan BAM buat. Kami akan buat yang terbaik bagi menjalankan tanggungjawab masing-masing selepas diberi peluang,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.
Dalam masa sama, Sze Fei belum pasti sama ada mereka masih berpeluang untuk beraksi pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark pada 21 hingga 27 Ogos depan.
“Untuk Kejohanan Dunia, saya tidak pasti kerana pada awalnya kami sudah menolak, tetapi kini saya perlu rujuk semula dengan BAM,” jelasnya.