SEREMBAN: Pengendali pasukan Negeri Sembilan FC, K. Devan akur bahawa beliau kini perlu membawa pasukan berkenaan menghabiskan baki musim ini tanpa kehadiran pemain baharu berbanding pasukan-pasukan lain.
Jelas beliau, keputusan pengurusan yang tidak membawa sebarang pemain import tambahan dan pemain baharu dalam jendela perpindahan akan datang perlu diterimanya dengan cabaran kini memastikan pasukan kendaliannya dapat memberikan saingan sekurang-kurangnya menduduki tangga ketujuh liga.
“Saya akur dengan keputusan kelab tidak tambah pemain import, memang dari segi berlatih dan bermain, tiada isu tapi jika kita fokus kepada keputusan perlawanan, tentunya tidak boleh bandingkan dengan pasukan lain yang lengkap.
“Kami terpaksa gunakan pemain-pemain yang kita ada sahaja sebab itu saya cakap kami bukan pasukan lengkap. Saya masih berharap kami dapat tamat di tangga tujuh teratas, sebab masih ada pasukan yang kami boleh kutip mata selepas ini,” tambahnya dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan Liga Super di antara Negeri Sembilan dan Penang FC semalam.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini itu, kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 1-1.
Mengulas mengenai perlawanan semalam, Devan mengakui tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut namun memuji kesungguhan anak buahnya bagi mencari gol penyamaan.
“Perlawanan memang sengit namun secara keseluruhannya kami mempunyai lebih peluang untuk menjaringkan gol, kami sasarkan untuk dapatkan tiga mata, memang daripada segi kutipan mata saya kurang berpuas hati namun kesungguhan pemain, pujian saya harus berikan kepada pemain,” katanya lagi.
Sementara itu, penolong ketua jurulatih Penang, Manzoor Azwira Abd Wahid berkata, pasukannya akan menyasarkan perlawanan seterusnya bagi mendapatkan tiga mata penuh.
“Para pemain kami telah menunjukkan prestasi yang baik seperti yang diharapkan cuma tidak dapat meraih tiga mata sahaja. Memang kami rasakan dapat meraih tiga mata di sini namun kami perlu menunggu perlawanan akan datang.
“Setakat ini untuk pusingan kedua aksi yang diberikan agak baik, dua mata selepas dua perlawanan jadi perlawanan di tempat sendiri nanti kami akan dapat mata penuh,” katanya.