PETALING JAYA: Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman sedia berunding dengan Datuk Seri Vida sekiranya usahawan kosmetik itu benar-benar serius mahu mengambil alih Kelantan FC seperti mana yang tular di media sosial ketika ini.
Bagaimanapun, Norizam menjelaskan bahawa Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman perlu mengemukakan surat secara rasmi kepada pihaknya terlebih dahulu sebelum perbincangan lanjut boleh dilakukan untuk memiliki Kelantan FC.
Norizam yang popular dengan gelaran Zamsaham berkata, surat rasmi itu bagi membolehkan rundingan lebih serius dilakukan termasuk mengenai berapa nilai penjualan bagi pasukan The Red Warriors (TRW).
“Kalau dia (Vida) sedia nak ambil alih, tak payah susah-susah, hantar surat kepada saya. Nyatakan berapa nilai dan kita boleh muktamadkan kalau dia betul-betul bersungguh.
“Syaratnya dia hantar satu surat seperti yang saya lakukan ketika nak beli Kelantan FC dulu yang mana saya berhubung dengan KAFA. Jadi kalau betul sungguh-sungguh dia boleh terus hubungi saya,” katanya.
Sebelum ini, Vida dilaporkan dia bersedia mengambil alih Kelantan FC daripada Norizam dan mahu meletakkan anaknya, Muhammad Eric Zaquan Mohd Amin atau Kacak sebagai pengurus.
“Kalau jadi, anak saya yang akan uruskan pasukan Kelantan kerana saya lihat anak saya amat minat dengan bola sepak. Saya percaya Kacak boleh membawa semula kegemilangan TRW yang dah hilang sekarang ke tahap membanggakan,” kata Vida.-UTUSAN ONLINE