KOTA BHARU: Daripada penuh, separuh dan kini tinggal suku.
Itu jumlah kehadiran penyokong ke Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu setiap kali Kelantan FC turun beraksi.
Menghuni tangga tercorot dan kalah sembilan kali berturut-turut dalam aksi Liga Super menyebabkan mereka semakin bosan, malah tidak lagi merasai aura Gomo Kelate Gomo atau This Is Kota Bharu setiap kali menonton perlawanan The Red Warriors (TRW).
Biarpun masih ada peminat yang setia datang ke stadium untuk memberi sokongan, namun beberapa penyokong yang ditemui Utusan Malaysia mengakui, rasa ‘cinta’ semakin pudar apabila pasukan berterusan dirundung kekalahan.
Bimbang jika tiada peningkatan ditunjukkan, daripada penuh, separuh dan suku, stadium akan kosong kerana kesabaran peminat semakin berkurangan.

Malah ketika ini pun, sudah ada penyokong Pahlawan Merah beralih sokongan kepada satu lagi pasukan dari negeri itu, Kelantan United.
Noradnan Mat Zain, 51, antara penyokong yang masih setia bersorak buat pasukan kesayangannya di stadium, namun kekalahan 0-5 kepada
Sri Pahang, Jumaat lalu membuatkan dia semakin berputus asa.
“Saya cukup kecewa melihat mutu permainan Kelantan FC sekarang. Saya sudah lama menyokong TRW dan boleh dikatakan aura Gomo Kelate Gomo dan This Is Kota Bharu sudah tidak dirasai tahun ini. Bagaikan sudah tidak wujud lagi… sudah mati,” katanya.