BWF ada sebab kukuh senaraikan Chong Wei - KBS

BWF ada sebab kukuh senaraikan Lee Chong Wei dalam Dewan Kemasyhuran

HANNAH Yeoh (tengah) bergambar bersama para peserta program Balik Pulau Half Maraton 2023, di Kompleks Sukan Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini. - Pic: SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Kementerian Belia dan Sukan yakin Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mempunyai sebab yang kukuh untuk menyenaraikan legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dalam Dewan Kemasyhuran BWF 2023 baru-baru ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pemilihan Chong Wei itu sudah pasti dibuat berdasarkan data dan statistik yang ada oleh BWF.

”Saya berada di sana semasa Chong Wei menerima pengiktirafan tersebut bersama Lin Dan.

“Kalau kita lihat data dan statistik saya percaya BWF mempunyai sebab yang kukuh sebelum mereka memberi pengiktirafan tersebut, dan kita memang berbangga dengan pencapaian Chong Wei,” katanya selepas menghadiri Balik Pulau Half Maraton 2023, di Kompleks Sukan Balik Pulau, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Pada 26 Mei lalu, Chong Wei, 41, dan Lin Dan, telah dimasyhurkan dalam Dewan Kemasyhuran Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2023 atas kejayaan dan sumbangan mereka terhadap sukan badminton, dengan muncul sebagai pemain perseorangan lelaki paling dominan, ketika era kegemilangan mereka.

Penguasaan Chong Wei dalam arena badminton menyaksikan beliau meraih 47 gelaran Siri Super /Jelajah Dunia BWF sepanjang 19 tahun penglibatannya dan memegang gelaran nombor satu dunia selama 349 minggu.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu merupakan atlet badminton paling berjaya Malaysia dengan tiga pingat perak Sukan Olimpik iaitu di Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016 serta tiga gelaran naib juara kejohanan dunia pada 2011, 2013 dan 2015.

LEE Chong Wei menerima anugerah Dewan Kemasyhuran di Kuala Lumpur semalam. – IHSAN BAM

Namun, baru-baru ini, legenda badminton Indonesia, Taufik Hidayat  melalui satu video tular di media sosial mempersoalkan kelayakan Chong Wei disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran BWF itu.

Dalam pada itu, Hannah berkata, beliau berharap lebih ramai Ahli Parlimen mengambil inisiatif menganjurkan acara-acara seperti Balik Pulau Half Maraton 2023 bagi membangunkan sukan dan ekonomi setempat.

”Balik Pulau Half Maraton 2023 ini disertai kira-kira 4,000 perserta termasuk perserta dari 24 negara luar.

“Majlis seperti ini dapat membangunkan sukan dan ekonomi tempatan, jadi saya berharap lebih ramai Ahli Parlimen dapat menganjurkan program seperti ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya