MIAMI: Pemain tengah Barcelona, Sergio Busquets akan menyertai bekas rakan sepasukannya, Lionel Messi di Inter Miami musim panas ini.
Perkara itu disahkan Liga Bola Sepak Utama (MLS) Amerika Syarikat (AS) yang mengumumkan ketibaan bekas bintang tengah Sepanyol tersebut semalam.
Kontrak Busquets dengan Barcelona akan tamat hujung bulan ini.
Selepas mengumumkan untuk menamatkan tempoh 18 tahun di Camp Nou, pemain berusia 34 tahun itu telah memikirkan tawaran dari AS dan Arab Saudi.
Busquets sebelum ini ada berunding dengan kelab Arab Saudi, Al-Nassr dan Al-Hilal, namun akhirnya memilih Miami walaupun ditawarkan gaji yang lebuh rendah.
Dia akan disatukan semula dengan pemenang Ballon d’Or tujuh kali, Messi di Florida Selatan, selepas pemain itu tamat kontrak dengan Paris Saint-Germain (PSG).
Busquets dan Messi telah menghabiskan 13 tahun bersama di Barca sebelum pemenang Messi berpindah ke Paris pada 2021, namun hubungan kedua-duanya kekal rapat walau berlainan kelab.
Busquets telah membuat 722 penampilan bersama Barca secara keseluruhan dengan memenangi sembilan kejuaraan liga dan tiga Liga Juara-Juara.
Dalam masa sama, ESPN turut melaporkan bahawa bek kiri Barcelona, Jordi Alba juga menerima tawaran Miami dan akan membuat keputusan mengenai masa depannya dalam beberapa minggu akan datang selepas memenangi Liga Negara-Negara UEFA bersama Sepanyol.
Hasrat Alba untuk berpindah dikatakan selari dengan impiannya mahu mewakili Sepanyol dalam Kejohanan Eropah (Euro) 2024.
Faktor dia bakal menimang anak ketiga bulan hadapan turut mempengaruhi keputusan yang akan dibuat pemain berusia 34 tahun itu. – AGENSI