'Bukan saya minta diberi anugerah, ia satu penghormatan'

‘Bukan saya minta diberi anugerah, ia satu penghormatan’

LEE Chong Wei (kanan) ketika beraksi menentang Taufik Hidayat pada Terbuka Hong Kong 2010.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Lee Chong Wei tenang ketika ‘diserang’ oleh legenda badminton Indonesia, Taufik Hidayat yang mempersoalkan kelayakannya disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran Persekutuan Badminton Dunia (BWF) baru-baru ini.

Kata Chong Wei, dia tidak pernah meminta untuk berada dalam senarai Dewan Kemasyhuran dan menganggap ia sebagai satu penghormatan.

Bekas pemain No. 1 dunia itu juga bingung, apakah Taufik tidak gembira atau marah dengan pemilihannya, dan meminta juara Olimpik 2004 itu bertanya sendiri kepada BWF kriteria apa yang digunakan ketika memilihnya.

“Saya tiada kaitan dengannya (pemilihan). Taufik harus menghubungi BWF untuk mendapatkan penjelasan.

“Saya tidak mendesak BWF untuk memasukkan nama saya ke dalam Dewan Kemasyhuran. Saya tidak menyedarinya sehingga BWF menghantar surat kepada saya.

“Saya tidak tahu sama ada Taufik tidak gembira atau marah selepas dia tidak dipilih. Dia tidak bercakap dengan saya mengenainya.

“Saya tidak faham kenapa dia menyerang saya,” kata Chong Wei, pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik.

Taufik ketika ditemubual dalam program televisyen Indonesia, mempersoalkan rasional BWF menyenaraikan Chong Wei dalam Dewan Kemasyhuran bersama legenda China, Lin Dan minggu lalu.

Dia berkata, Lin Dan layak menerima anugerah itu tetapi mendakwa Chong Wei turut dipilih hanya kerana pejabat BWF terletak di Kuala Lumpur.

“Dalam pertandingan, yang di ambil kira siapa yang juara bukan ditentukan siapa yang paling lama (konsisten). Bukan juga ditentukan siapa yang paling lama berada di tempat pertama.

“Kalau kamu menang 10 kali perak dan hanya satu kali emas, kamu akan pilih yang mana?,” soalnya.

Taufik yang memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik Athens 2004 dan Kejohanan Dunia 2005 kemudian membalas di Twitter mempersoalkan sama ada Chong Wei memenangi Sukan SEA, Kejohanan Dunia atau Olimpik.

Chong Wei, 41, meraih pingat perak Olimpik di Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016, selain muncul naib juara dunia tiga kali pada 2011, 2013 dan 2015.

Dia juga digelar ‘Raja Siri Super’ dengan merangkul 69 gelaran keseluruhan sepanjang kariernya, selain memegang rekod menduduki ranking No 1 selama 349 minggu. Chong Wei menggantung raketnya pada 2019 selepas bertarung dengan kanser hidung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya