Bukan masalah gaji, isu KL City bajet 'ciput'

Bukan masalah gaji, isu KL City bajet ‘ciput’

KUALA Lumpur City masih mampu meraih keputusan cemerlang mara ke final Piala FA biarpun berdepan kekangan kewangan. – UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mengakui bajet kecil menjadi kekangan terbesar Kuala Lumpur City (KL City) untuk bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M), namun masalah yang dihadapi skuad The City Boys itu tidaklah terlalu kronik.

Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard berkata, pendedahan jurulatih mereka, Bojan Hodak mengenai masalah kelewatan gaji sememangnya berlaku sejak 2021, namun keadaan masih terkawal dan pemain tetap menerima gaji mereka pada bulan yang sama.

Katanya, ketika kebanyakan pasukan utama dalam liga domestik dibantu kerajaan negeri sehingga RM20 juta, mereka menerima RM5 juta daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedangkan pasukan memerlukan lebih RM10 juta semusim.

 

STANLEY BERNARD

“Sekarang bukan isu tunggakan gaji, Hodak ada cakap gaji kadang-kadang tepat pada waktunya dan kadangkala lewat. Perkara ini pernah berlaku pada 2021, berlaku juga pada 2022 dan ia berulang musim ini kerana kita pasukan bajet kecil.

“Biarpun (gaji) lewat, kita bertanggungjawab dan pastikan tidak melanggar syarat yang diletakkan oleh badan induk bola sepak dunia iaitu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Jadi jelas bahawa kita tidak melanggar kontrak ditetapkan iaitu tidak lewat sebulan.

“Apa yang dimaksudkan oleh Hodak sebenarnya ialah, kita (KL City) dalam tempoh tiga tahun ini mampu menjadi pasukan yang bersaing dengan hebat dan beliau juga yakin bahawa KL City boleh menjadi pasukan besar sekiranya mempunyai dana yang cukup.

“Bola sepak adalah struktur yang besar dan perlukan sokongan, sebab itu dia kata saya ke hulu ke hilir macam orang gila mendapatkan bon, bajet dan penaja. Sebab apa saya lakukan semua itu?. Sebab saya mahu cari pelabur untuk pasukan.

“Apa yang penting ialah, biarpun berdepan kelewatan gaji, para pemain membuktikan kewibawaan mereka di atas padang dan tanggungjawab pihak pengurusan pula adalah untuk menyelesaikan isu-isu sebegini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Hodak dalam sidang akhbar selepas perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Terengganu FC pada Ahad lalu mendedahkan bahawa skuad KL City sedang berdepan masalah pembayaran gaji pemain.

KL City FC mara ke final Piala FA selepas menewaskan Terengganu FC 4-2 dalam penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sepanjang 120 minit masa perlawanan.

Ia tahun ketiga berturut-turut skuad Warga Kota itu layak ke final dalam kejohanan besar selepas menjuarai Piala Malaysia 2021 dan muncul naib juara Piala AFC tahun lalu.

Mengulas lanjut Stanley berkata, dia berdepan cabaran besar untuk mengekalkan pemain pada musim ini selepas terdapat beberapa pasukan cuba memancing pemain KL City termasuk Hodak yang merupakan jurulatih paling berjaya di Liga M.

“Kita berjaya menyimpan pemain yang menang Piala Malaysia selama tiga tahun, itu satu perkara ajaib. Tetapi, sekarang pemain dan jurulatih dapat tawaran untuk pergi ke kelab lebih besar, ini memberi isyarat untuk kita lebih berusaha untuk mencari bajet,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya