PARIS: Lionel Messi mengesahkan dia akan berpindah ke Inter Miami menerusi perjanjian yang memberi pilihan kepadanya untuk menjadi sebahagian pemilik kelab Liga Bola Sepak Utama (MLS) Amerika Syarikat (AS) itu.
Sejak beberapa minggu lalu, bintang Argentina itu dikaitkan dengan kepulangan ke Barcelona atau perpindahan lumayan ke Arab Saudi.
Messi, 35, menghabiskan dua musim di Paris Saint-Germain (PSG) dan bermain dalam perlawanan terakhirnya untuk kelab itu Sabtu lalu, selepas berpindah dari Barcelona pada 2021 di mana dia menghabiskan sebahagian besar kariernya.
“Saya tidak akan kembali ke Barca, saya akan pergi ke Inter Miami,” kata Messi dalam temubual bersama akhbar Sepanyol, Mundo Deportivo.
The details of Leo Messi's proposed contract with Inter Miami đŸ‘€ pic.twitter.com/Kz8M7upev0
— ESPN (@espn) June 7, 2023
Menurut akhbar Britain, Daily Mail, Messi yang telah memenangi empat trofi Liga Juara-Juara dan meledak 672 gol daripada 778 perlawanan di peringkat kelab telah ditawarkan perjanjian lumayan, termasuk kontrak bersama Adidas.
ESPN pula melaporkan bahawa perjanjiannya dengan Inter Miami kelab yang dimiliki bekas bintang England, David Beckham termasuk pilihan yang boleh melihat dia menjadi pemilik sebahagian kelab bola sepak itu dan sebahagian daripada pendapatan pelanggan Pas Musim MLS Apple TV.
Bapanya, Jorge, dilaporkan telah bertemu Presiden Barcelona, Joan Laporte awal minggu ini tetapi nampaknya pemenang Piala Dunia itu tidak mahu kembali ke bekas kelabnya.
— Inter Miami CF (@InterMiamiCF) June 7, 2023
Bercakap mengenai khabar angin dia boleh kembali ke Barcelona, ​​pemilik tujuh anugerah Ballon d’Or itu berkata: “Saya benar-benar mahu (kembali ke Barcelona) saya sangat teruja untuk kembali.
“Begitupun selepas apa yang saya lalui, dan melihat jalan keluar yang saya miliki, saya tidak mahu berada dalam situasi sama lagi: menunggu untuk melihat apa yang akan berlaku dan meninggalkan masa depan saya di tangan orang lain.
“Saya mahu membuat keputusan sendiri, memikirkan tentang diri saya, tentang keluarga saya. Walaupun saya mendengar dikatakan bahawa La Liga telah menerima segala-galanya dan semuanya baik untuk dia kembali, masih banyak perkara lain yang perlu dilakukan.” – AGENSI