PETALING JAYA: Skuad bola keranjang kerusi roda menjadi penyumbang pingat pertama Malaysia dalam Sukan Para ASEAN 2023 apabila meraih gangsa dalam acara 3×3 lelaki di Phnom Penh, Kemboja hari ini.
Dalam penentuan gangsa yang diadakan di Kompleks Sukan Nasional Morodok Techo, trio Malaysia, Freday Tan Yei Bing, K. Karthik serta Atib Zakaria mendominasi perlawanan untuk melakar kemenangan 17-8 ke atas tuan rumah, Kemboja.
Kejayaan ini mengubat kekecewaan skuad negara memandangkan pada edisi lalu di Solo, Indonesia, Malaysia tidak mengambil bahagian dalam temasya sukan dwitahunan itu.
Pingat emas dimenangi Thailand yang membenam Filipina 15-7 dalam perlawanan akhir.
“Saya sebenarnya meletakkan sasaran untuk mara ke final, namun disebabkan tidak berjaya, saya memang mahu anak-anak buah buat yang terbaik untuk sekurang-kurangnya bawa balik pingat gangsa.
“Memang puas hati dengan cara permainan pasukan sebab kita sudah membaiki beberapa kekurangan pada saingan peringkat kumpulan semalam,” kata ketua jurulatih Malaysia, Lim Ming Lip.