MUNICH: Tekanan semakin tinggi dalam skuad bola sepak Jerman apabila terdapat gesaan agar Hansi Flick digantikan dengan Jurgen Klopp bagi menyelamatkan peluang mereka pada Kejohanan Eropah (Euro) 2024.
Flick berdepan tekanan hebat selepas skuad bimbingannya mengalami kekalahan berturut-turut dalam aksi persahabatan kepada Poland dan Colombia selepas seri 3-3 dengan Ukraine minggu lalu.
Jerman bernasib baik tidak hilang tempat ke Euro 2024 kerana sudah layak sebagai tuan rumah.
Begitupun, dengan hanya mencatat dua kemenangan dalam lapan aksi terakhir menunjukkan keadaan mereka amat membimbangkan.
Akhbar berpengaruh Jerman, Bild mahu Flick meninggalkan pasukan sebelum Euro 2024 bermula kerana tidak yakin pengurus itu mampu membawa pasukan menjulang trofi.
Pengarang sukan mereka menulis panjang lebar menggesa Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) melakukan segala yang mampu untuk meyakinkan bos Liverpool, Klopp mengambil alih pasukan.
Mereka menyelar taktikal Flick yang dilihat membingungkan, selain mempersoalkan kekurangan peranan penyerang No. 9 dan penggunaan berterusan tiga pemain pertahanan di belakang.
“Dia melakukan banyak perkara bertentangan dengan logik. Eksperimen dan percubaan yang kami tidak mampu. Sungguh sukar dipercayai bagaimana kami menuju Euro 2024,” kata laporan itu.
Artikel Bild bertajuk DFB kini perlu berjuang untuk Klopp turut menyatakan penyelesaian mudah untuk skuad Jerman adalah dengan mendapat pengendali Liverpool itu.
“Dia (Klopp) merasakan tugasnya adalah membawa Liverpool keluar daripada krisis tetapi DFB perlu berjuang untuknya dengan sekuat tenaga.
“Klopp akan meletakkan Jerman kembali dalam mood Euro mulai sekarang,” katanya.
Kontrak Klopp di Liverpool masih berbaki tiga tahun lagi, bermakna bayaran yang besar perlu disediakan untuk membawanya keluar, namun ada pilihan kedua iaitu membenarkan dia menguruskan kedua-duanya, Reds dan negaranya.
Sekiranya kedua-dua jalan tidak berhasil, Bild turut mencadangkan Oliver Glasner yang meninggalkan Eintracht Frankfurt pada akhir musim lalu dan pengarah semasa Rudi Voller sebagai alternatif. – AGENSI