NILAI: Selepas berjaya merampas semula gelaran Raja Pecut Asia, Datuk Azizulhasni Awang kini mahu melengkapkan koleksi pingat emasnya dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) dengan meraih kejuaraan ke-12 menerusi acara keirin hari ini.
Azizulhasni, 35, bangkit selepas menjalani pembedahan jantung tahun lalu untuk mencipta legasi tersendiri dalam ACC 2023 yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai kelmarin apabila menewaskan pelumba Jepun, Ota Kaiya pada perlumbaan akhir acara pecut.
Secara keseluruhan pelumba kelahiran Terengganu itu sudah pun mengumpul 11 pingat emas dalam ACC sejak mula memenanginya pada edisi 2007 di Nakhon Ratchasima, Thailand.
“Kenapa tidak (emas ke-12). Sasaran saya sekurang-kuranya satu pingat emas dan selepas ini keirin. Anda semua tahu yang saya tak akan main-main, saya akan berusaha dengan penuh gigih.
“Apapun saya ingin meraikan kejayaan ini dulu, segera mencari kecergasan semula dan selepas itu bincang mengenai perancangan Ahad nanti (hari ini).
“Nak menang, memang nak menang kerana keirin adalah acara kegemaran saya. Apapun, kita tengok bagaimana perancangan John (Beasley) dulu,” kata pelumba yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman.
“Saya berlumba dengan kurang tekanan (untuk keirin selepas raih emas ke-11). Saya sudah capai sasaran, jadi tengoklah bagaimana perlumbaan Ahad nanti. Saya tak tahu perancangan John, mungkin tolong Shah (Firdaus) atau bergerak sendiri,” kata pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo itu.