PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dilantik sebagai duta minuman isotonik No. 1 Malaysia, 100PLUS untuk tempoh dua tahun sehingga 2025.
Kerjasama itu diumumkan 100PLUS dalam satu sesi ‘townhall’ F&N semalam dengan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan bekas juara dunia keirin itu bakal menyertai senarai duta lain seperti legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei serta pemain badminton termasuk Lee Zii Jia, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Pearly Tan, M. Thinaah dan Ng Tze Yong.
“Azizul adalah sumber inspirasi kepada rakyat Malaysia tanpa mengira usia. Sikap, komitmen, ketabahan dan kesungguhannya untuk meraih kejayaan di tahap tertinggi sememangnya tiada tandingan. Dia mampu mengatasi halangan, termasuk ketika mengalami insiden ngeri, pembedahan dan meletakkan dirinya semula dalam kalangan terbaik di dunia.
“Tanpa ragu-ragu, dia adalah antara pelumba berbasikal trek terbaik di dunia dan kami mahu memberikannya sokongan dalam usaha menjadi juara di Sukan Olimpik,” kata Pengarah Perniagaan F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd., Leong Wai Yin dalam satu kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, Azizulhasni atau dikenali dengan julukan The Pocket Rocketman melakar sensasi merangkul dua pingat emas pada Kejohanan Trek Asia (ACC) di Velodrom Nilai dalam acara pecut individu serta keirin.
Azizulhasni yang sudah memenangi 12 pingat emas dalam ACC sejak 2007 kini memburu emas pada ukan Asia di Hangzhou, China dari 23 September hingga 8 Oktober depan.
“Latihan dan persiapan untuk menjamin kedudukan teratas dalam kejohanan utama seperti Sukan Asia dan Olimpik memerlukan jumlah sumber yang banyak. Saya bersyukur 100PLUS – minuman isotonik terkemuka negara kita – tampil untuk membantu saya dalam usaha memburu kejayaan di peringkat dunia.
“100PLUS adalah rakan ideal buat saya kerana semangat dan keinginan mereka bagi membantu pembangunan sukan Malaysia. Saya teruja dan amat menantikan untuk bekerjasama dengan mereka,” kata Azizulhasni.
Untuk rekod, 100PLUS menjadi penaja rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia, Persatuan Badminton Malaysia, Konfederasi Hoki Malaysia dan Majlis Sukan Negara. 100PLUS juga rakan minuman rasmi kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim dan Selangor FC. – UTUSAN ONLINE