Azizul cipta legasi rangkul emas ke 11 di pentas Asia

Azizul cipta legasi rangkul emas ke 11 di pentas Asia

AZIZULHASNI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NILAI: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menepati janjinya untuk meraih pingat emas di laman sendiri apabila menguasai perlumbaan akhir acara pecut Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai hari ini.

Pelumba yang diberi julukan “The Pocket Rocketman” itu turun pada peringkat separuh akhir membawa momentum yang terbaik selepas berjaya memecahkan rekod kebangsaan miliknya dalam acara pecut dengan melakar catatan 9.523 saat (s) ketika aksi pusingan kelayakan semalam.

Di peringkat separuh akhir, Azizul tidak menghadapi masalah untuk menafikan Kento Yamasaki apabila cemerlang mengungguli kedua-dua perlumbaan untuk melangkah ke perlumbaan akhir.

Aksi perlumbaan final yang pertama menyaksikan Azizul berjaya melakukan kayuhan deras untuk meninggalkan pencabarnya Ota Kaiya dari Jepun, yang merupakan pemenang pingat perak di Kejohanan Trek Piala Negara-Negara di Indonesia Februari lalu dengan catatan 9.924s.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu terus memacu laju ke hadapan ketika perlumbaan final kedua untuk sekali lagi menewaskan Kaiya dengan catatan 9.828s untuk merangkul pingat emas bagi kontinjen Malaysia.

Pelumba berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang ketika berentap dengan pelumba Jepun, Ota Kaiya dalam perlumbaan akhir acara pecut Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai. (Foto: UTUSAN/AMIR KHALID)

Sejurus selepas memenangi perlumbaan, Azizul yang disambut pengendalinya, John Beasley kelihatan sebak namun bersyukur dengan kejayaan yang diraih.

“Masa habis tu, ia bagaikan kelegaan untuk saya, perasaan penat semua tu hilang, seperti yang saya katakan, bukan mudah untuk menang pada perlumbaan hari ini.

“Kalau boleh saya tak nak campur adukkan perasaan, hanya mahu meraikan kejayaan, tetapi saya peluk John (Beasley), saya katakan kepadanya, kita sudah berjaya melakukannya sekali lagi, dan dia pula beritahu saya, dia bangga dengan saya apabila saya berjaya ketepikan semua perkara untuk perlumbaan ini, tidak mudah untuk berada di tahap ini.

“Bayangkan anda semua mengalami masalah, dan ingin pergi berperang, jadi bukan senang untuk mengenepikan semua perkara dan tumpukan perhatian, tetapi macamana perkara tersebut tetap berbekas dalam hati saya,” jelas Azizul yang mengalami konflik dengan Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum berlangsungnya kejohanan ini pada minggu lalu.

Kejayaan Azizul ini menandakan legasi yang cukup gemilang buat Azizul di pentas ACC apabila secara keseluruhan sudah mengumpul 11 pingat emas sejak mula menyertainya pada 2007.

“Perasaan saya bercampur-baur, dengan pelbagai perkara yang berlaku sebelum ini, ini pula adalah gelaran juara saya yang ke 11 di Asia, mencapai status legenda, saya rasa bagaikan tidak percaya, akhirnya saya berjaya melakukannya.

“Memang saya mengimpikan perkara ini sebelum saya sertai kejohanan di Hong Kong, saya mahu memenangi satu lagi pingat emas untuk memastikan status saya sebagai legenda dalam saingan ini, dan ia bukan mudah,” tambah Azizul.

Azizulhasni berpeluang menambah koleksi pingat emas ke 12 di saingan ini apabila turun bertanding dalam acara kegemarannya, keirin yang berlangsung pada Ahad

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya