PETALING JAYA: Muhammad Azeem Fahmi meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok tiga terbaik acara 100 meter (m) pada semua kejohanan olahraga peringkat Asia yang disertai tahun ini.
Tekad itu disuarakan atlet remaja berusia 19 tahun tersebut dalam pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Putrajaya semalam.
“Sasaran saya tahun ini mahu berada pada kedudukan tiga terbaik setiap kali menyertai kejohanan di peringkat Asia. Ketika ini saya berada di ranking keempat Asia bagi kategori senior,” kata atlet yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu.
Tahun ini Azeem berjaya memecah rekod kebangsaan acara pecut 60m lelaki dalam dewan pada kejohanan Terbuka Texas Tech dan kejohanan Jemputan Tiger Paw di South Carolina dengan catatan masa 6.62 saat (s), sekali gus memadamkan rekod miliknya 6.63s.
Pelari kelahiran Perak itu turut berjaya mencatatkan masa terpantas iaitu 10.04s pada Kejohanan Olahraga Divisyen 1 NCAA di Florida, AS, namun rekod itu tidak diiktiraf kerana terdapat bantuan angin.
Saya telah bertemu dengan @_azeemf dan mendengar sendiri perkembangan latihan beliau di Amerika Syarikat. Semoga Azeem terus cemerlang di Kejohanan 2023 Asian Athletics Championships di Thailand nanti. pic.twitter.com/8OtMCwDPlu
— Hannah Yeoh (@hannahyeoh) June 27, 2023
Berdasarkan ranking 100m Asia 2022, Azeem berada di kedudukan kelima dengan catatan rekod kebangsaan 10.09s yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia, Ogos tahun lalu.
Pelari Sri Lanka, Yupun Abeykoon memegang status pelari terpantas Asia tahun lalu dengan catatan 9.96s, manakala Abdul Hakim Sani Brown (Jepun) di kedudukan kedua, 9.98s.
Seorang lagi atlet Jepun, Ryuichiro Sakai berada di kedudukan ketiga, dengan catatan 10.02s.
Azeem bakal menyertai Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) di Bangkok bulan depan, selain mengetuai cabaran olahraga dalam Sukan Asia Hangzhou yang dijadual bermula dari 23 September hingga 8 Oktober ini. – UTUSAN ONLINE