PETALING JAYA: Impian untuk menyaksikan pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi beraksi di pentas Sukan Olimpik Paris 2024 semakin hampir menjadi kenyataan berdasarkan prestasi atlet dari Teluk Intan, Perak itu.
Ketika ini, pelari berumur 19 tahun itu hanya perlu mengerah sedikit lagi keringat untuk melepasi had kelayakan ditetapkan dalam acara 100m iaitu 10 saat (s) bagi menyambar tiket secara merit ke Perancis tahun depan.
Azeem merupakan pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.09s dan dia mencatatkan 10.04s pada Kejohanan Trek dan Balapan NCAA Divisyen 1 di Florida, Amerika Syarikat (AS) namun, rekod itu tidak diiktiraf kerana terdapat bantuan angin.
Dia diyakini mampu untuk mencatatkan sejarah berdasarkan prestasi positif yang dicatatkan dalam semua kejohanan yang disertai bersama Universiti Auburn.
Jurulatih pecut universiti itu, Ken Harnden meluahkan keyakinan Azeem mampu berlari bawah 10s berdasarkan sikap positif yang dipamerkannya termasuk bersemangat dalam sesi latihan
“Azeem sangat cemerlang walaupun berpindah separuh dunia untuk bersama jurulatih, kawan, makanan dan sekolah baharu. Walaupun tidak 100 peratus sihat tetapi dia masih berikan prestasi pada tahap tertinggi.
“Saya teruja dengan sikap positif, senyuman dan keazamannya untuk berjuang. Dia cepat belajar dan mudah dilatih selain diberikan didikan dan latihan yang sangat bagus di Malaysia. Ya dia boleh berlari bawah 10s tidak lama lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin juga menitip harapan supaya Azeem layak ke pentas berprestij itu, sekali gus mengembalikan martabat arena olahraga negara di mata dunia.
“Bukan kita harapkan pingat emas tetapi ia sesuatu yang sangat bagus buat sukan olahraga kalau dia layak ke Olimpik. Dia ada peluang dan mengharapkan dia akan berjaya,” ujarnya.
Kali terakhir Malaysia mempunyai wakil dalam acara pecut 100m lelaki di Sukan Olimpik adalah melalui legenda olahraga kebangsaan, Watson Nyambek pada edisi 2000 di Sydney, Australia. -UTUSAN