PETALING JAYA: Tiga lagi pingat emas yang diraih pada hari terakhir Sukan Para ASEAN 2023 hari ini membolehkan kontinjen Malaysia menutup kempen dengan pencapaian cemerlang, 50 pingat emas, 38 perak dan 34 gangsa.
Atlet para negara bukan sahaja bulan dengan 17 emas lebih banyak daripada yang disasarkan – 33 emas, malah jauh mengatasi pencapaian temasya terakhir di Solo, Indonesia apabila mereka pulang bersama 36 emas, 20 perak dan 13 gangsa.
Mereka menutup kempen dengan menghuni tangga keempat dalam pungutan pingat keseluruhan, di belakang Indonesia (159), Thailand (126) dan Vietnam (66).
Gandingan Muhammad Ikhwan Ramli-Noor Azwan Noorlan menghadiahkan pingat emas terakhir dan ke-50 buat negara dalam saingan badminton beregu lelaki WH1/WH2 berkerusi roda menumbangkan pasangan Thailand, Dunmern Junthong-Jakarin Homhual 14-21, 21-17, 21-9.
Terdahulu, Ikhwan Ramli memenangi acara perseorangan, menewaskan Jakarin 21-15, 21-14 Kompleks Sukan Morodok Techo, manakala Mhd Amin Burhanuddin menambah emas kedua dengan mengejutkan pemain No. 7 dunia dalam saingan SL4 kecacatan fizikal, Hikmat Ramdani dari Indonesia 21-18, 9-21, 21-15. – UTUSAN ONLINE