Arif Aiman belum puas hati prestasi bersama Harimau Malaya

Arif Aiman belum puas hati prestasi bersama Harimau Malaya

ARIF Aiman Hanapi (kanan) diasak pemain Kepulauan Solomon dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Rabu lalu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia, Arif Aiman Hanapi, belum berpuas hati prestasi bersama Harimau Malaya ketika mengatasi Kepulauan Solomon, Rabu lalu.

Menurut pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, masih banyak aspek yang harus diperbaiki meskipun membuka akaun jaringan bersama pasukan kebangsaan dalam perlawanan itu.

Arif Aiman berkata, dia harus bekerja keras untuk mengekalkan tempat dalam kesebelasan utama yang turut menjadi rebutan pemain seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Faisal Abdul Halim.

“Sudah tentu perasaan bangga itu ada kerana dapat menjaringkan gol ketika menyarung jersi keramat Harimau Malaya namun bagi saya, siapa penjaring gol tidak penting.

“Lebih mustahak adalah saya dan semua pemain perbaiki setiap kelemahan untuk menghadapi perlawanan berikutnya kerana ini juga persediaan menghadapi Piala Asia 2023.

“Jadi saya harap dapat meningkatkan prestasi bertemu Papua New Guinea yang turut dijangka menjadi lawan sukar meskipun kedudukan ranking memihak Malaysia,” katanya semalam.

Dalam perlawanan, Rabu lalu, Arif Aiman menjaringkan gol pertama di pentas antarabangsa menerusi sepakan penalti dalam masa tambahan sebelum rehat.

Pemain berusia 21 tahun itu dijangka terus diberi kepercayaan di bahagian sayap bersama Faisal untuk mengkucar-kacirkan benteng pertahanan Papua New Guinea, Selasa ini.

“Kunci kejayaan Harimau Malaya adalah persediaan rapi bertemu mana-mana pasukan dan saya optimis jurulatih, Kim Pan-gon ada percaturan terbaik bagi perlawanan seterusnya.

“Walaupun Papua New Guinea di ranking 159 dunia dan Malaysia di tempat 138, itu bukan jaminan kita akan menerima laluan mudah sebaliknya saya menjangkakan saingan lebih sengit,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya