PETALING JAYA: Masa depan penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin bersama KV Kortrijk kini menjadi tanya tanya selepas hartawan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan menjual kelab Belgium itu minggu ini.
Rabu lalu, KV Kortrijk mengesahkan mereka kini dimiliki taikun hartanah Amerika Syarikat (AS), Maciek Kaminski yang dikatakan membeli kelab pada harga 17.5 juta euro (RM87.68 juta).
Vincent yang membeli pada 2015 dengan harga 5 juta euro (RM25.05 juta) adalah individu yang bertanggungjawab membawa Luqman Hakim menyertai Kortrijk pada 2020 dengan menandatangani kontrak lima tahun.
Selepas sukar menembusi skuad utama Kortrijk sepanjang tempoh tiga tahun, penyerang kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu akhirnya menyertai kelab Iceland, Njardvik FC secara pinjaman pada Februari lalu.
Begitupun, dia masih mempunyai kontrak sehingga Jun 2025 bersama Kortrijk, dan tanpa pengaruh Vincent dalam kelab Belgium itu kedudukannya kini semakin menjadi tanda tanya.
Usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan Luqman Hakim dan ejennya yang berpangkalan di London, EL-EF Sport bagi menjelaskan status kontraknya di KV Kortrijk gagal apabila mesej tidak dibalas.
Begitupun Luqman, 21, sebelum ini pernah memberitahu, dia tetap mahu berkelana di Eropah selagi kontraknya masih ada sehingga 2025 dan tidak bercadang untuk pulang ke tanah air dalam masa terdekat biarpun dikaitkan dengan beberapa kelab Liga Malaysia (Liga M).
Bekas pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) hanya melakukan dua penampilan bersama skuad senior Kortrijk, termasuk satu musim ini dan lebih kerap diturunkan bersama skuad bawah 21 tahun (B-21) serta pasukan simpanan.
Bersama Njardvik FC, dia mempamer aksi positif apabila berjaya melakukan beberapa jaringan selain gerakan gol untuk membantu kemenangan pasukan.