GRAZ, Austria: Bintang pecut Britain, Eugene Amo-Dadzie menerima gelaran akauntan terpantas dunia selepas merakam masa 9.93 saat (s) dalam acara 100 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Horst Mandl Memorial di Austria kelmarin.
Amo-Dadzie yang merupakan akauntan sepenuh masa hanya terlibat secara serius dalam olahraga empat tahun lalu, dan dia telah memperbaharui catatan peribadinya, sekali gus menjadi pelari pecut 100m terpantas di Eropah tahun ini.
Catatan pelari berusia 30 tahun itu juga menempatkannya sebagai atlet keempat dalam senarai sepanjang zaman Britain menyertai Linford Christie (9.87s), James Dasaolu dan Zharnel Hughes (9.91s) serta Reece Prescod (9.93s).
“Tindak balas saya baik, menyaksikan saya boleh bermula dengan bagus. Saya beritahu diri sendiri untuk tidak memperlahankan larian. Saya rasa seperti saya terbang.
“Saya tundukkan badan menuju garisan penamat, dan apabila saya toleh jam, tertera nombor sembilan, saya jadi gila.
“Saya akan melakukan lebih banyak lagi larian seperti itu,” katanya.
Sebelum ini Amo-Dadzie banyak menggunakan larian deras dalam bola sepak bersama kelab amatur, namun dia beralih ke olahraga dengan berlatih di Kelab Woodford Green.
Sejak itu, dia telah memperbaiki masanya dan pernah mencatat 10.05s tahun lalu.
Dia yang kini bergerak tanpa penajaan atau bantuan dana dari sesiapa menjelaskan dia tidak mungkin akan dapat mencapai potensi penuh jika bakatnya dicungkil lebih awal.
“Saya rasa saya sertai sukan ini pada waktu yang tepat. Pemikiran saya ketika itu telah membantu saya untuk bergerak ke arah lebih tepat.
“Saya masih menggelar diri saya seorang akauntan yang terlibat dengan dunia olahraga dan balapan,” kata Amo-Dadzie yang berjaya melayakkan diri ke separuh akhir dalam acara 60m pecut di Kejohanan Dalam Dewan Eropah. – AGENSI