PETALING JAYA: Tiga beregu Malaysia menempah slot ke suku akhir setelah melepasi halangan peringkat kumpulan pada Kejohanan Skuasy Beregu Campuran Asia di Hangzhou, China, hari ini.
Aifa Azman-Mohammad Syafiq Kamal yang diletakkan selaku pilihan pertama tidak berdepan masalah mengetepikan beregu Filipina, David William Pelino-Yvonne Alyssa Dalida menerusi kemenangan straight set 11-4, 11-5 dalam perlawanan pertama Kumpulan A yang berlangsung pada sebelah pagi.
Gandingan negara itu yang sekali lagi turun pada sebelah petang untuk perlawanan kedua mudah menyingkirkan Na Joo Young-Lee Ji Hyun 11-0, 11-4.
Aifa ketika ditemu bual selepas perlawanan melahirkan rasa gembira selepas dia dan Syafiq muncul juara Kumpulan A.
“Pada suku akhir, kami masih belum mengetahui siapa lawan kami sebab kena tunggu undian,” katanya.
Syafiq pula enggan berada dalam zon selesa untuk perlawanan peringkat seterusnya kerana cabaran pasti akan lebih sukar.
“Kami akan berehat, esok, dan untuk aksi berikut saya berharap kami dapat terus mengekalkan rentak permainan yang baik,” ujarnya.
Satu lagi pasangan Malaysia, Rachel Arnold-Ivan Yuen yang diletakkan sebagai pilihan kedua turut melakar dua kemenangan dalam aksi Kumpulan B selepas mengalahkan beregu tuan rumah, Li Dongjin-Zhou Zhitao 11-4, 11-5.
Untuk perlawanan kedua, Rachel-Ivan diberi kemenangan percuma selepas Simmy Ong-Timothy Leong dari Singapura menarik diri kerana faktor kesihatan.
Dalam perlawanan Kumpulan F, Noor Ainaa Amani Ampandi-Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar turut mencatat kemenangan pertama ke atas beregu Singapura, Gracia Chua-Jerome Aw 11-7, 11-3.
Dalam pertemuan kedua, Ainaa-Addeen menewaskan beregu Hong Kong, Cheng Nga Ching-Matthew Lai 11-7, 11-3.
Biarpun Ainaa-Addeen sudah melangkah ke peringkat lapan terbaik, pilihan keenam itu, bagaimanapun, masih memiliki satu lagi perlawanan menentang Supakorn Ngamprasert-Nopcahnok Buranakul dari Thailand, esok, untuk aksi terakhir Kumpulan F. – UTUSAN ONLINE