Aifa, Sivasangari berebut slot ke separuh akhir hari ini

Aifa, Sivasangari berebut slot ke separuh akhir hari ini

AIFA AZMAN bakal berdepan S. Sivasangari pada suku akhir Kejohanan Skuasy Asia 2023 di Hong Kong hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia sudah mengesahkan satu tiket ke separuh akhir perseorangan wanita, Kejohanan Skuasy Asia apabila dua pemainnya, Aifa Azman dan S. Sivasangari bakal berentap sesama sendiri Hong Kong hari ini (3.45 petang).

Aifa yang diletak selaku pilihan ke-3/4 menewaskan pemain remaja India berusia 15 tahun, Anahat Singh 11-7, 11-5, 14-12 semalam.

Pilihan ke-5/8, S. Sivasangari pula tidak berdepan masalah untuk menjinakkan pemain tuan rumah, Cheng Nga Ching 11-2, 11-9, 11-4.

Kali terakhir kedua-dua anak kelahiran Kedah itu bertemu ialah pada Terbuka Malaysia, enam tahun lalu dan rekod pertemuan mereka berpihak kepada Sivasangari 3-0.

Pertembungan tersebut dijangka berlangsung menarik dengan Aifa kini menghuni ranking ke-29 dunia, manakala, Sivasangari berada di tangga ke-50 dunia.

Begitupun, sejauh mana untuk menilai ranking memberi kelebihan kepada kedua-dua pemain itu sukar untuk dicongak, memandangkan kejatuhan ranking Sivasangari daripada No. 16 ke tangga 50 dunia kerana kemalangan jalan raya yang memaksanya berehat panjang pada tahun lalu.

Sejak itu, Aifa menggalas tugas sebagai perseorangan utama wanita Malaysia, namun, pemain berusia 21 tahun itu sejak kebelakangan ini turut mengalami kejatuhan ranking dari kedudukan ke-21 ke tangga No. 29 dunia.

NG EAIN YOW

Malaysia juga sudah mengesahkan satu slot separuh a khir lelaki apabila Ng Eain Yow dan Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar turut bersaing sesama sendiri di suku akhir hari ini.

Mengikut jejak langkah empat wakil negara itu ialah Ivan Yuen dan Rachel Arnold yang turut melepasi halangan pusingan kedua.

Ivan, 33, menundukkan pemain Korea Selatan, Na Joo Young 11-2, 11-7, 11-4 dan Tang Ming Hong dari Hong Kong menantinya di suku akhir.

Rachel pula yang menghuni ranking ke-34 dunia bakal berdepan wakil Hong Kong, Chan Sin Yuk selepas mengalahkan Jemyca Aribado dari Filipina 11-6, 11-1, 11-3.

Sementara itu, langkah dua lagi wakil Malaysia, Mohammad Syafiq Kamal dan Noor Ainaa Amani Ampandi terhenti di pusingan kedua selepas tewas kepada lawan masing-masing.

Syafiq kalah kepada pemain India, V. Senthilkumar 9-11, 4-11, 7-11, manakala, Ainaa tunduk kepada pilihan ke-5/8, Lee Ka Yi dari Hong Kong 11-6, 11-9, 5-11, 1-11, 7-11. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya