PETALING JAYA: Pelari 200 meter (m) lelaki negara, Pengiran Aidil Auf Hajam menghadirkan pingat gangsa dalam Kejohanan Olahraga Remaja Asia Bawah 20 tahun (B-20) di Yecheon, Korea Selatan kelmarin.
Atlet berusia 18 tahun itu cemerlang dengan larian 21.37 saat (s), hanya ketinggalan 0.19s di belakang Sarawut Nuansi dari Thailand yang berada di tempat kedua, manakala Chen Jinfeng dari China meraih emas dengan masa 20.81s.
Ini penyertaan kedua Aidil dalam kejohanan peringkat umur selepas aksi pertama pada saingan B-18 di Kuwait, tahun lalu menyaksikan dia turut meraih gangsa.
Jurulatihnya, Jumain Taepe berkata, kejohanan itu membantunya menganalisis kelemahan yang akan diberi perhatian dalam program latihan bagi membentuk Aidil menjadi pelari terbaik.
“Ada tiga perkara yang saya lihat, pertama dia perlu memperbaiki teknik larian. Kedua, dia perlu tingkatkan speed endurance dan ketiga, tingkatkan kekuatan.
“Apa pun, tahniah kepada Aidil. Penyertaan pertamanya di Kuwait catat 21.65s, jadi dia menunjukkan peningkatan dengan masa 21.37s tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.