PETALING JAYA: Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) mengesahkan seorang atlet yang bertanding dalam Kejohanan Olahraga Kebangsaan, Februari lalu positif ujian doping.
Pengesahan diterima daripada Makmal Anti-Doping, Doha, Qatar (ADLQ) bagi analisis sampel atlet olahraga itu, dengan penemuan bahan terlarang dalam sampel atlet dalam kelas S.6 Stimulants – Sibutramine.
“Sibutramine adalah bahan yang disenaraikan alam senarai bahan yang dilarang penggunaannya sewaktu pertandingan oleh Agensi Anti Doping Dunia (WADA),” dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini.
Sehubungan itu, atlet berkenaan akan digantung sementara daripada menyertai semua kejohanan dan aktiviti olahraga sehingga proses pendengaran diumumkan nanti.
“Dalam tempoh ini, atlet akan diberi peluang untuk mempertahankan diri dan memberikan sebarang bukti untuk menyokong pembelaan beliau. Keseluruhan proses akan dijalankan dengan telus dan mengikut peraturan anti-doping yang ditetapkan.
“Prinsip kebertanggungjawaban mutlak (Principle of Strict Liability) adalah terpakai kepada atlet. Ini bermakna setiap atlet harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap bahan yang terdapat dalam sampel urin dan atau sampel darah mereka yang diambil semasa pengujian kawalan doping, tidak kira sama ada atlet itu secara sengaja atau tidak sengaja menggunakan bahan atau kaedah terlarang,” katanya.
Dalam pada itu katanya, adalah untuk atlet dan kakitangan sokongan atlet mengetahui peraturan dan memahami tanggungjawab mereka di bawah Kod Anti-Doping Dunia.
“Pihak ADAMAS akan mengambil tindakan selanjutnya berdasarkan kepada ADAMAS Anti-Doping Rules 2021 dan International Standard for Results Management (ISRM),” katanya. – UTUSAN ONLINE