PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mahu memburu final kedua mereka tahun ini, namun perlu melepasi halangan pasangan muda China, Liang Wei Kang-Wang Chang pada separuh akhir badminton Terbuka Singapura hari ini.
Semalam, juara dunia itu menumpaskan pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin 18-21, 21-16, 22-20 di suku akhir.
Biarpun meloloskan diri, namun Aaron-Wooi Yik enggan mendabik dada kerana sedar mereka kerap memberikan mata mudah buat lawan, dan perkara itu perlu diperbaiki sekiranya impian ke final mahu direalisasikan.
“Memang tidak fikir, main sahaja, kerana esok (hari ini) sudah masuk separuh akhir, tetapi kerja kami belum habis.
“Walaupun perlawanan hari ini (semalam), kami menang, tetapi kami tidak boleh berpuas hati, sebab kami pada mulanya mempunyai kelebihan jurang mata yang lebih kurang lima ke enam mata sebelum membiarkan lawan rapat kedudukan.
“Jadi perkara sebegini sering terjadi kepada kami, begitu juga unforced error kerap terjadi, sekaligus membuatkan permainan menjadi lebih tegang dan kami perlu belajar tentang perkara ini,” jelas Aaron.
Biarpun Aaron-Wooi Yik diletakkan sebagai pilihan ketiga, manakala lawan mereka sebagai pilihan ketujuh, namun ia bukanlah tugas mudah memandangkan Wei Kang-Wang Chang turun selaku juara bertahan.
Daripada rekod pertemuan pula, empat pertarungan sebelum ini, tiga daripadanya memihak kepada Wei Kang-Wang Chang.
Mujur pertemuan terakhir mereka di Masters Indonesia Januari lalu memihak kepada Aaron dan Wooi Yik yang berjaya menyingkirkan mereka di pusingan kedua kejohanan tersebut.
Sementara itu, saingan separuh akhir hari ini turut menampilkan satu lagi wakil Malaysia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dalam beregu campuran.
Gandingan sedangan meningkat itu bagaimanapun berdepan laluan getir menentang beregu No. 3 dunia, Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun.
Ini adalah pertemuan pertama kedua-dua pasangan. – UTUSAN ONLINE