PETALING JAYA: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan kemaraan ke pusingan kedua selepas mengetepikan wakil tuan rumah, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana pada pusingan pertama Terbuka Indonesia di Istora Senayan, Jakarta, hari ini.
Pasangan No. 3 dunia itu melakar kemenangan straight set 21-16, 21-12 ke atas beregu ke-13 dunia itu dalam masa 33 minit.
Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan kedua dijangka bertemu sama ada beregu Taiwan, Su Ching Heng-Ye Hong Wei atau pasangan Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Kim Won Ho pada pusingan kedua, esok.
Mengikut jejak langkah juara dunia itu ke pusingan kedua ialah beregu campuran Malaysia, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang menundukkan pasangan England, Gregory Mairs-Jenny Moore 14-21, 13-21.
Kian Meng-Pei Jing yang kini menghuni ranking ke-18 dunia akan menghitung pertemuan dengan pasangan tuan rumah, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari.
Sementara itu, nasib berbeza mengiringi satu lagi beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Cheah Yee See yang kalah kepada gandingan Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti 16-21, 9-21. – UTUSAN ONLINE