PETALING JAYA: Beregu No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik hanya selangkah lagi untuk merangkul kejuaraan pertama mereka tahun ini selepas mara ke perlawanan akhir badminton Terbuka Indonesia di Jakarta sebentar tadi.
Juara dunia itu bangkit daripada kekalahan di set pertama sebelum mengetepikan sorakan bingit penonton di Stadium Istora Senayan untuk menyingkirkan pasangan tuan rumah, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Rambitan 12-21, 23-21, 21-13.
Ini adalah kali pertama Aaron-Wooi Yik melayakkan diri ke final dalam kejohanan bertaraf Super 1,000 tahun ini, malah aksi akhir pertama buat mereka sejak muncul naib juara Terbuka India, Januari lalu.
Di atas kertas, beregu No. 3 dunia itu mempunyai peluang baik apabila berdepan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dalam perlawanan akhir esok kerana memenangi kesemua lapan pertemuan mereka.
Begitupun, Satwiksairaj-Chirag kini berada pada prestasi terbaik dan bersedia memburu kejuaraan ketiga musim ini.
Rankireddy/Shetty 🇮🇳 and Kang/Seo 🇰🇷 clash in a nail-biting encounter.#BWFWorldTour #IndonesiaOpen2023 pic.twitter.com/GopA27F8Cm
— BWF (@bwfmedia) June 17, 2023
Gandingan No. 6 dunia itu menyingkirkan pasangan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 17-21, 21-19, 21-18 dalam aksi separuh akhir hari ini.
Mereka sebelum itu melakar kejutan besar di suku akhir dengan mengalahkan beregu tuan rumah yang juga pasangan No. 1 dunia, Fajar Alfian-Rian Ardianto.
Satwiksairaj-Chirag juga sudah memenangi dua kejuaraan tahun ini iaitu Terbuka Switzerland (Mac) dan gelaran Asia, April lalu.
Aaron-Wooi Yik yang menumpaskan pasangan India itu 21-18, 21-19 dalam pertemuan terakhir mereka pada Piala Sudirman bulan lalu tidak pernah meraih kejuaraan sejak memenangi gelaran dunia di Jepun, Ogos tahun lalu. – UTUSAN ONLINE