KUALA TERENGGANU: Seramai 400 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan pada perlawanan separuh akhir Piala FA antara Terengganu FC (TFC) dan KL City FC, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus dekat sini, Ahad ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, langkah keselamatan itu diambil bagi memastikan aksi kedua-dua pasukan itu berjalan lancar tanpa sebarang insiden.
Menurut beliau, penonton perlu mematuhi garis panduan kawalan keselamatan di stadium yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Penonton dilarang membawa masuk barang terlarang ke dalam stadium seperti mercun, bunga api atau suar, topi keledar, pemetik api serta objek tajam yang berbahaya.
“Selain itu, penonton diingatkan tidak menimbulkan kekecohan termasuk berbentuk provokasi sebelum, semasa dan selepas perlawanan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambah beliau, pihak polis tidak teragak-agak mengenakan tindakan tegas termasuk menggunakan saluran undang-undang terhadap mereka yang ditangkap melakukan kekacauan.
Selain itu, tambah beliau lagi, unit polis trafik turut akan ditempatkan bertujuan penyuraian aliran trafik dan mengawal kesesakan di sekitar pekarangan stadium berkenaan.
“Penugasan pegawai dan anggota ini bagi mengawal ketenteraman orang awam, selain mengelak berlaku kejadian tidak diingini di dalam dan luar stadium,” jelasnya.
Hampir 30,000 penonton dijangka membanjiri stadium, Ahad ini, dengan 15,000 tiket dalam talian sudah habis terjual, kelmarin manakala 15,000 keping lagi akan mula dijual secara fizikal bermula esok.
Aksi itu sekali lagi akan menjadi tumpuan selepas insiden kekecohan membabitkan penyokong TFC ketika tumpas kepada Selangor dalam separuh akhir Piala Malaysia, November tahun lalu.
Kekecohan itu tercetus selepas segelintir penyokong TFC membaling batu serta objek keras ke arah bas yang membawa pemain dan pegawai pasukan lawan menyebabkan lima ditahan polis. – UTUSAN