KUALA NERUS: Aura lebih 12,200 penyokong Harimau Malaya yang hadir ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) telah merentap semangat Kepulauan Solomon ketika tumpas 4-1 dalam perlawanan persahabatan, malam tadi.
Perkara itu diakui pengendali Kepulauan Solomon, Felipe Vega Arango, yang menyifatkan perlawanan tersebut pengalaman baharu buat anak-anak buahnya di pentas antarabangsa.
“Suasana di stadium sangat menakjubkan dengan sorakan penonton dan anda (Malaysia) sangat beruntung mempunyai fasiliti terbaik serta peminat yang ‘bersuara’ sepanjang 90 minit.
“Majoriti pemain Kepulauan Solomon adalah pemain mentah berusia 20 sehingga 22 tahun sehinggakan mereka ‘menggigil’ kerana tiada pengalaman seperti ini.
“Bagaimanapun ini adalah pendedahan terbaik untuk bola sepak di negara kami bagi membina sebuah pasukan mantap menghadapi kejohanan akan datang,” katanya.
Tambah jurulatih kelahiran Sepanyol itu lagi, jaringan awal penyerang, Raphael Lea’i minit ke-11 tidak memberi sebarang makna apabila mereka gagal menghalang kebangkitan Harimau Malaya.
Katanya, perbezaan ketara kualiti serta tahap pemain kedua-dua negara menjadi faktor kekalahan 1-4 menyebabkan Kepulauan Solomon bagaikan ‘dipukau’ meskipun memiliki kelebihan satu gol.
“Kami memberi terlalu banyak ruang kepada Malaysia dan tidak memberi tekanan kepada pemain lawan sehingga tidak dapat berbuat apa-apa kecuali serangan balas.
“Apapun dengan hanya seorang pemain profesional manakala selebihnya bertaraf amatur, kami sudah menjangkakan aksi sukar bertemu Malaysia,” jelasnya kepada pemberita, semalam.
Menurut Arango lagi, fokus negara itu kini membaiki corak permainan bagi menghadapi aksi persahabatan antarabangsa kedua bertemu Singapura pada Ahad. – UTUSAN ONLINE