PETALING JAYA: Selepas tujuh bulan bergerak solo, perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia akhirnya membuat keputusan memilih bekas jurulatih negara, Wong Tat Meng untuk melatihnya.
Perkara ini diumumkan secara rasmi menerusi media sosial rasmi Zii Jia, Team LZJ hari ini dengan mengesahkan Tat Meng sebagai jurulatih terbarunya selepas kontrak pengendali sebelum ini, Indra Wijaya ditamatkan pada November lalu.
“Suka citanya kami ingin mengumumkan Encik Wong Tat Meng sebagai pengarah kejurulatih yang baru untuk Team LZJ,” jelas media sosial rasmi pemain No. 10 dunia itu secara ringkas di laman twitter.
Tat Meng pernah berpengalaman mendidik perseorangan wanita Korea Selatan, An Se Young sebelum berhijrah ke Hong Kong tahun lalu untuk melatih skuad perseorangan lelaki negara berkenaan yang ditunjangi Angus Ng Ka Long dan Lee Cheuk Yiu.
Jurulatih berusia 55 tahun ini bakal merencanakan program bagi memastikan Zii Jia yang diletakkan dalam program persediaan pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik, “Road to Gold” mampu mencapai sasaran itu.
Pemilihan Tat Meng sebagai jurulatih tidak mengejutkan memandangkan Zii Jia secara peribadi pernah berkelana ke Hong Kong pada April lalu untuk mengadakan sesi latihan bersama jurulatih itu sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Badminton Asia 2023 yang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Bagaimanapun Tat Meng hanya akan dapat memulakan tugasnya sebaik sahaja urusan pemindahan tempat tinggal dari Hong Kong ke Malaysia dapat diselesaikan secepat mungkin.